El Nino: Persiapan rentas agensi hadapi cuaca panas
Madiha Abdullah
Februari 8, 2024 16:40 MYT
Februari 8, 2024 16:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengadakan mesyuarat dengan beberapa kementerian lain dan agensi bagi menyelaras dan membuat persiapan menghadapi fenomena El Nino.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, antara yang akan turut serta adalah Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Kita akan adakan mesyuarat yang biasa kita adakan tentang cuaca panas dan kering. Ia akan melibatkan beberapa kementerian dan agensi termasuk KKM, KBS dan KPM sebab cuaca panas ini ada kesan terhadap banyak aktiviti.
"Kita akan pastikan ada satu persediaan yang baik tahun ini," katanya selepas melancarkan laporan mengenai penyertaan Malaysia dalam Persidangan Parti-parti kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim ke-28 (UNFCCC-COP28), pada Khamis.
Sebelum ini, Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan cuaca dijangka lebih kering pada bulan Februari.
Ini berikutan Monsun Timur Laut yang akan berakhir pada bulan Mac, dengan El Nino yang bermula tahun lalu, dijangka berterusan hingga pertengahan tahun ini.
Nik Nazmi juga berkata pihaknya akan terus menjalankan perbincangan berterusan dengan semua pihak termasuk Indonesia, bagi mengatasi masalah jerebu rentas sempadan.
"Kita memang ada hasrat untuk berhubung dengan pihak negara jiran cuma kita faham mereka melalui proses transisi.
"Sekarang berlangsung Pemilihan Umum (Pemilu) 2024, pada hujung tahun akan ada Kabinet baharu dan sebagainya tetapi memang ada perbincangan awal untuk melihat strategi terbaik bagi mengatasi jerebu rentas sempadan,"katanya lagi.
Dalam pada itu, Nik Nazmi memaklumkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim masih di peringkat awal dan menjangkakan ia akan dibentangkan tahun hadapan.
"Mantan Menteri Tenaga dan Sumber Asli ada menyebut bahawa RUU Perubahan Iklim telah tersedia tahun lepas tapi bila saya, tidak ada. Lebih dari itu saya tak mahu komen.
"Tetapi di pihak kementerian kita sudah mulakan RUU Perubahan Iklim, telah melalui proses pelantikan perunding dan sekarang drafting telah bermula di peringkat awal.
"Selepas ini perundingan dengan pemegang taruh, sama ada kerajaan negeri atau masyarakat sivil, pihak korporat dan sebagainya, kemudian ke peringkat seterusnya.
"Kita juga mahu ada satu pendekatan terbuka dalam penggubalan ini," tambahnya.