El Nino hampir pasti melanda, adaptasi untuk minimumkan impak - Pakar

Madiha Abdullah
April 24, 2023 19:15 MYT
Semua pihak perlu bersiap sedia dan beri kerjasama bagi mengurangkan impaknya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca kering dan panas melampau dijangka hampir pasti berlaku bermula Jun ini.
Felo Akademi Sains Malaysia, Fredolin Tajudin Tangang berkata, ini berdasarkan ramalan Pusat Ramalan Iklim Apex Climate Centre di Busan.
Beliau bagaimanapun menafikan El Nino adalah punca cuaca panas dan kering ketika ini.
"Ramai keliru dan mungkin kaitkan fenomena panas dan kering sekarang dengan El Nino. Tetapi pada penelitian saya tidak begitu kerana cuaca sekarang ini dikaitkan dengan fenomena ayunan Madden-Julian yang menyebabkan kawasan merangkumi Malaysia dan Indonesia didominasi oleh pusat perolakan terhalang.
"Keadaan begini akan menyebabkan kurang hujan dan cuaca panas, itu yang kita alami sekarang. Tetapi kena ingat juga, kita sekarang berada di puncak peralihan monsun di Semenanjung Malaysia.
"Inilah musim di mana ribut petir berlaku di sebelah petang, tetapi dengan Madden-Julian, ribut petir kurang sikit... tetapi beberapa hari kebelakangan ini hujan di sebelah petang telah kembali, menunjukkan ayunan Madden-Julian sedang bergerak ke arah timur dan keadaan akan kembali normal dalam beberapa hari lagi," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Isnin.
Jelasnya, suhu permukaan di tengah Lautan Pasifik masih normal bermaksud El Nino belum berlaku tetapi peningkatan suhu di bahagian kedalaman lautan menunjukkan proses pembentukan El Nino sedang berlaku.
Beliau bagaimanapun yakin semua pihak terlibat sudah bersedia dan melakukan persiapan yang diperlukan bagi menghadapi El Nino namun mengharapkan orang ramai juga memberi kerjasama.
"Ini fenomena berskala global, tidak ada teknologi yang boleh menghalangnya daripada berlaku.
"Apa yang boleh kita lakukan adalah cuba merancang terutama dari segi adaptasi untuk meminimumkan impak.
"Saya percaya pelbagai jabatan dan kementerian sudah sedia maklum mengenai El Nino, ayunan Madden-Julian ini umpama ujian awal.
"Orang awam juga kena beri perhatian, jangan lakukan pembakaran terbuka atau tidak terkawal misalnya, kerana ia akan memburukkan keadaan," katanya lagi.
#El Nino #panas dan kering #Malaysia #persediaan
;