El Nino dijangka beri kesan kepada hasil dan mutu beras

Bernama
Januari 20, 2016 20:48 MYT
Jangkaan suhu, tahap karbon dioksida, dan kelembapan serta saling hubung kait antara faktor-faktor ini merupakan antara cabaran dalam meramal hasil padi pada masa hadapan. - Gambar hiasan
Keadaan suhu yang tinggi ekoran fenomena El Nino yang melanda negara buat masa ini dijangka menjejas mutu beras yang dihasilkan dalam bentuk biji beras retak dan berkapur, kata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu menyatakan bahawa peningkatan suhu dan pengurangan hujan dalam tempoh yang panjang akan menjejas hasil pengeluaran padi.
"Bagaimanapun, ini bergantung kepada varieti yang diusahakan dan kawasan penanaman.
"Secara umumnya, suhu optimum penanaman padi adalah di antara 24 hingga 34 darjah Celsius dan hujan tahunan melebihi 2000 mm," katanya.
Menurut Jabatan Meteorologi, fenomena El Nino akan menyebabkan peningkatan suhu sebanyak 0.5 ke 2.0 darjah Celsius dan pengurangan hujan di antara 20 hingga 60 peratus menyebabkan cuaca panas dan kering dijangka melanda negara bermula Januari hingga Mac ini.
Katanya hasil penyelidikan oleh International Rice Research Institute (IRRI) menunjukkan bahawa kenaikan suhu pada waktu malam sebanyak satu darjah Celsius boleh mengurangkan hasil padi kira-kira 10 peratus.
"Jangkaan suhu, tahap karbon dioksida, dan kelembapan serta saling hubung kait antara faktor-faktor ini merupakan antara cabaran dalam meramal hasil padi pada masa hadapan," katanya.
Kementerian itu menjelaskan, corak hujan yang tidak teratur dan tekanan air meningkatkan intensiti beberapa penyakit padi seperti “brown spot and blast” (karah daun padi) yang menyumbang kepada pengurangan hasil padi.
Menurut kementerian pada 1998, hasil padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) didapati berkurangan daripada 4.88 tan/ha kepada 4.45 tan/ha setelah berlaku peningkatan suhu dari 28.5 darjah Celsius kepada 29 darjah Celsius.
Catatan menunjukan El Nino pernah menyerang negara Asia Tengara termasuk Malaysia pada 1983, 1987, 1991, 1993 dan menjadi lebih teruk bermula dari 1997, tambahnya.
#El Nino #Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani #mutu beras #Padi
;