El Nino: Catuan air mungkin dilakukan bergantung situasi
Radhi Muslim
Mei 16, 2023 08:15 MYT
Mei 16, 2023 08:15 MYT
SANDAKAN: Catuan air di Sandakan berkemungkinan terpaksa dilakukan ketika fenomena El Nino yang dijangka melanda pada Jun atau Julai depan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya bagaimanapun menegaskan ketika ini catuan belum dijalankan dan bekalan air bersih masih diagihkan seperti biasa.
Menurutnya, catuan air mungkin dilakukan bagi memastikan semua kawasan mendapat bekalan air bersih.
“Saya difahamkan oleh jurutera daerah belum ada catuan air tetapi sekiranya kedatangan El Nino nanti mungkin kaedah itu diguna pakai untuk memastikan bahwa semua kawasan akan mendapat bekalan air,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Loji Rawatan Air Segaliud di Sandakan, pada Isnin.
Menurutnya, setakat ini juga paras air di loji rawatan air itu masih di tahap yang baik dan memiliki lebihan.
Tegasnya, setakat ini lebihan air yang sudah disimpan tersebut dijangka boleh digunakan sehingga awal Jun ini.
Dalam masa sama, proses kerja mengepam air ke dalam loji untuk dijadikan simpanan air masih terus dijalankan dalam berhadapan fenomena musim kemarau berkenaan.
“Yang saya berpuas hati pada hari ini kadar pengepaman air masuk ke empangan adalah melebihi daripada air yang keluar daripada empangan, ertinya daripada kerja-kerja pengepaman air kita ada surplus (lebihan), jadi kita akan gunakan dalam bulan Mei ini sehingga awal Jun nanti.
"Surplus ini akan berterusan dan itu akan menjadi satu daripada buffer untuk menyimpan air bagi ketibaan El Nino yang dikatakan menjelang tiba pada bulan Julai nanti,” jelasnya lagi.