EKVE nafi dakwaan PEKA pembinaan lebuh raya punca pencemaran
Ian Johan Ariff
November 29, 2017 21:00 MYT
November 29, 2017 21:00 MYT
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) sebelum ini mendakwa pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) menyebabkan pencemaran dan kemusnahan alam sekitar.
Namun EKVE hari ini tampil menafikan dakwaan itu.
Apakah alasan yang diberikan kedua-dua belah pihak terhadap perkara ini?
Berikut adalah antara hasil pemantauan PEKA bersama dua lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar yang lain, Treat Every Environment Special (TrEES) dan Malaysian Nature Society (MNS) terhadap dakwaan kesan pencemaran dan kemusnahan alam sekitar akibat kerja-kerja pembinaan EKVE.
1. Notis pemberhentian kerja sudah dikeluarkan - JAS dikatakan telah mengeluarkan satu notis pemberhentian kerja kepada pemaju EKVE dan kontraktor terlibat pada 24 Oktober 2017 namun kerja-kerja tetap dijalankan.
2. EKVE didakwa tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) - Berpandukan Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling), 1987 yang telah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 25 April 2013.
3. Keselamatan penduduk setempat - Pemaju dan kontraktor didakwa tidak mengambil langkah-langkah perlindungan yang sewajarnya seperti yang diarahkan dan ditetapkan oleh pihak JAS. Pembinaan lebuh raya ini terlalu hampir dengan kawasan kediaman penduduk Kampung FELCRA Sungai Semungkis.
4. Tiada perangkap mendap? - Dikatakan terdapat pelepasan air larian dari permukaan tapak projek EKVE ke luar sempadan tapak projek sehingga menyebabkan banjir kilat, kerosakan infrastruktur dan kediaman penduduk serta membahayakan keselamatan penduduk sekitar. Keadaan ini menyebabkan penduduk sering mengalami kejadian banjir lumpur dan bimbang sekiranya berlaku runtuhan tanah yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk.
5. Ketiadaan ‘safety barrier’ dan zon penampan - Mereka mendakwa Ttada penghalang keselamatan dengan jarak bersesuaian sangat membimbangkan dan berpotensi mengundang kejadian bencana yang lebih buruk pada bila-bila masa.
6. Kawalan Hakisan dan Sedimentasi - Kerja-kerja pembinaan juga dikatakan menyebabkan hakisan tanah dan sedimentasi berlaku dengan kerap terutamanya apabila berlakunya hujan.
7. Banjir semakin kerap - Aliran sungai dan anak sungai tersekat dan mendap sehingga meningkatkan kekerapan kejadian banjir lumpur di kawasan penempatan penduduk sekitar.
Pencemaran Sungai - Termaktub di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Telah Ditetapkan) JAS untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti yang melibatkan kerja-kerja pengubahan aliran sungai dan anak-anak sungai turut didakwa dilanggari oleh pihak pemaju dan kontraktor berkaitan.
8. Tiada perangkap mendap? - Dikatakan terdapat pelepasan air larian dari permukaan tapak projek EKVE ke luar sempadan tapak projek sehingga menyebabkan banjir kilat, kerosakan infrastruktur dan kediaman penduduk serta membahayakan keselamatan penduduk sekitar.
Cadangan PEKA
1. Kerja-kerja pemuliharaan perlu dipercepatkan dan ini termasuk menutup kawasan yang sudah siap dengan tanaman penutup bumi, membuat kawalan hakisan tanah dan penstabilan cerun.
2. Bina zon penampan sungai - Terdapat pencemaran dan kerosakan Sungai Bukit Seputeh dan kira-kira 27 anak sungai semulajadi di mana zon penampan sungai telah diabaikan oleh pihak pemaju dan kontraktor sehingga menyebabkan kualiti air sungai tercemar, berkelodak dan berlumpur.
Ini pula respon EKVE terhadap dakwaan itu.
EKVE dalam satu kenyataan yang diemel kepada kami EKVE menafikan dakwaan yang dibuat PEKA, MNS dan TrEES.
EKVE menyatakan ia mematuhi semua peraturan dan peraturan pembangunan yang ditetapkan dan telah mengambil langkah-langkah yang kompeten untuk mengurangkan semua isu di tapak pembinaan untuk memastikan keselamatan komuniti di sekitar kawasan tersebut.
EKVE juga menyatakan ia mematuhi sepenuhnya Pelan Kawalan Hakisan Tanah dan Sendimen (ESCP) yang telah diluluskan oleh Jabatan Parit Dan Saliran (JPS Selangor).
Pelan ini adalah panduan untuk amalan pengurusan asas seperti:
1. Pengurusan yang tepat bagi perangkap kelodak dan kolam pemendapan
2. Pengurangan cerun tidak aktif yang terdedah
3. Pembinaan saliran tanah yang berterusan berfungsi untuk memintas air larian semasa hujan lebat
EKVE juga menyatakan ia bekerjasama rapat dengan JAS, Majlis Perbandaran Kajang dan Lembaga Lebuhraya Malaysia untuk memastikan kerja-kerja yang dilakukan menepati semua peraturan yang ada.
Pihak EKVE juga dijangka mengeluarkan kenyataan susulan dalam masa terdekat.
#Akta Kualiti Alam Sekeliling
#EKVE
#Jabatan Alam Sekitar
#JAS
#Kampung FELCRA Sungai Semungkis
#Lebuhraya Lembah Klang Timur
#MNS
#PEKA
#Perintah Kualiti Alam Sekeliling
#TrEES