Eksport REE: Perak tidak langgar peraturan, tiada garis panduan khusus - Saarani
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 22, 2023 13:33 MYT
Oktober 22, 2023 13:33 MYT
IPOH: Tindakan Perak mengeksport unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) ke China tidak melanggar peraturan kerana tiada larangan aktiviti itu sebelum ini.
Malah, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini belum ada garis panduan khusus mengenainya dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).
Beliau menjelaskan, Perak telah diberikan kebenaran untuk melaksanakan projek perintis mengeluarkan REE di kawasan seluas 216 ekar.
“Industri NR-REE ini bermula di Perak, kita yang diberi kebenaran untuk melakukan pilot project ke atas 216 ekar pertama dan kita laksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) ketika itu.
“Pada waktu itu kita telah berjaya untuk mengeluarkan hasil NR-REE ini mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan dan kita jual untuk melihat harganya, pasarannya berapa... (kerana) nak menentukan sama ada berbaloi ke tak berbaloi kita mengeluarkan hasil bumi ini.
“Kita nak tahu tu kita kena jual (sebab) di Malaysia belum ada lagi tempat pemprosesan itu.
“(Oleh sebab) masa itu belum ada pengumuman oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), maka Perak telah mula menjualnya mulai Januari sehinggalah bulan 10 kita telah dapat RM16 juta, malahan saya difahamkan sehingga hujung tahun ini ... akan dapat RM21 juta, insya-Allah,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian Ulang Tahun Kelima 5 Geopark Lembah Kinta dan Pelancaran Geopark Intrrnational Geopark Run 2023 @ Ipoh Low Carbon Day di Dataran Bandaraya Ipoh, di sini, hari ini.
Menurutnya, Perak memohon agar NRECC dapat mengeluarkan garis panduan khusus mengenai perkara tersebut secepat mungkin.
Dalam masa sama, Saarani berkata, beliau telah meminta agar Perak diberi kebenaran untuk menjual REE itu sehingga kementerian mempunyai keputusan untuk diguna pakai di seluruh negara.
“Sekarang ini, hanya Perak sahaja yang ada bahan ini, jadi kita jual, kalau tidak jual, apa kita nak buat dengannya? Jadi membazirlah.
“Perak akan terus mencari gali 216 ekar pertama itu sehingga ada peraturan yang tidak membenarkan kita menjualnya... kalau tidak, buat apa kami keluarkan benda tu,” ujarnya.
Tambahnya, selain 216 ekar itu, Perak mempunyai 5,399 ekar lagi kawasan yang telah lulus Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan kementerian telah membenarkan negeri ini meneruskan usaha di atas tanah tersebut.
Selain moratorium untuk terus menjual bahan NR-REE itu, katanya, Perak juga memohon kepada NRECC agar diberi keistimewaan untuk membina loji pemprosesan berpusat (CPP) dan kilang-kilang pemprosesan.
Pada Sabtu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan tindakan kerajaan Perak yang mengeksport REE sedangkan kerajaan melarang sebarang eksport berkaitan sumber bahan mentah yang bernilai tinggi itu.
Menurutnya, REE mampu menjadi potensi pendapatan negara yang amat besar, justeru kerajaan perlu memastikan dasar larangan eksport REE dipatuhi.