Eksport pertanian Ukraine diteruskan selagi Rusia tidak langgar perjanjian PBB-Turkiye

Bernama
Ogos 17, 2022 22:36 MYT
Ukraine telah mengeksport kira-kira 450,000 tan metrik bijirin dan jagung pada minggu pertama selepas perjanjian yang ditandatangani antara Rusia dan Ukraine. - Gambar fail/ Reuters
KUALA LUMPUR: Ukraine mampu mengeksport tiga juta tan produk pertanian dari pelabuhannya setiap bulan sekiranya Rusia tidak melanggar perjanjian penghantaran yang dicapai melalui usaha perantara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Turkiye, kata Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba.
Perjanjian antara Rusia dan Ukraine dicapai bulan lalu di tengah-tengah amaran bahawa penghantaran bijirin dari pelabuhan Ukraine jika dihentikan boleh membawa kepada konflik kekurangan makanan yang teruk dan juga kebuluran di beberapa bahagian di dunia.
"Jika Rusia tidak melanggar perjanjian PBB, kami akan dapat mengeksport...bijirin kami amat diperlukan di seluruh pelusuk dunia..pengguna utama kami adalah di Afrika dan Asia," katanya menerusi sesi zoom atas talian bersama media asing bertajuk 'Minum Petang Bersama Menteri Luar Kuleba', Rabu.
Sesi itu memberi tumpuan kepada isu tenaga global dan keselamatan makanan pada zaman moden.
Kuleba berkata Ukraine telah mengeksport kira-kira 450,000 tan metrik bijirin dan jagung pada minggu pertama selepas perjanjian yang ditandatangani antara Rusia dan Ukraine, dan disokong usaha perantara PBB-Turkiye pada 22 Julai bagi menyambung semula eksport bijirin melalui Laut Hitam.
Ukraine mempunyai kira-kira 20 juta tan bijirin hasil tuaian tahun lepas manakala tuaian gandum tahun ini juga dianggarkan sebanyak 20 juta tan.
Eksport bijirin Ukraine telah merosot sejak Rusia melaksanakan operasi ketenteraan ke atas negara itu sejak 24 Feb dan menyekat pelabuhan Laut Hitam Ukraine, tetapi tiga pelabuhan Laut Hitam kembali beroperasi sejak bulan lepas di bawah perjanjian antara Moscow dan Kyiv hingga memungkinkan ratusan ribu tan bijirin Ukraine dapat dieksport keluar.
Sementara itu, menteri luar itu mendakwa Ukraine telah menggunakan pelbagai cara untuk mencari penyelesaian diplomatik susulan ketegangan yang semakin meningkat tetapi semua percubaan itu telah ditolak Rusia.
-- BERNAMA
#krisis Rusia-Ukraine #eksport pertanian ukraine #perjanjian PBB-Turkiye #Dmytro Kuleba
;