Eksport penutup hidung, mulut mungkin akan dihentikan
Rudi Affendi Khalik
Mac 15, 2020 13:18 MYT
Mac 15, 2020 13:18 MYT
Berikutan permintaan yang tinggi dan bekalan yang menyusut, kerajaan mempertimbangkan untuk melarang pengeksportan penutup hidung dan mulut, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi.
Menurut beliau, pengumuman mengenai perkara tersebut akan dibuat tidak lama lagi.
"Tindakan ini diambil kerana situasi semasa COVID-19 dan permintaan terhadap penutup muka ini tinggi," katanya ketika membuat tinjauan mengejut di sebuah pusat beli-belah di sini semalam.
Nanta berkata, terdapat empat kilang di Malaysia yang mengusahakan penghasilan penutup muka ini.
" Mereka bagaimanapun bergelut kesukaran kerana bahan mentahnya datang dari China dan Eropah," katanya lagi.
Nanta yang juga Anggota Parlimen Kapit berkata kementeriannya juga melihat dengan serius akan laporan harga penutup hidung dan mulut serta cecair sanitasi meningkat pada masa ini berikutan kebimbangan orang ramai mengenai COVID-19.
“Kami mengadakan beberapa mesyuarat mengenai perkara itu.
"Terdapat pelbagai pandangan mengenai cara untuk mengatasi masalah tersebut. Tidak syak lagi kami menyedari ada orang yang mengambil peluang daripada situasi itu dan cuba mengaut keuntungan cepat.
“Kita tidak boleh membiarkan mereka mengambil kesempatan terhadap orang ramai. Kementerian kami akan menjalankan penguatkuasaan dan memastikan rakyat dilindungi,” katanya lagi.
Tinjauan Astro AWANI di bandar raya ini mendapati kebanyakan penjual penutup muka kehabisan stok, berikutan menularnya wabak COVID-19.
Sehingga hari ini, Sarawak merekodkan 20 kes positif Covid-19, seperti diumumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.