Eksport minyak olein sawit ke India dijangka terus merosot - Shamsul

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 22, 2019 14:50 MYT
Kementerian Kewangan India mengenakan duti perlindungan sebanyak lima peratus ke atas minyak olein sawit bertapis dari Malaysia. - Gambar hiasan
Kerajaan menjangkakan akan berlaku pengurangan dalam eksport minyak olein sawit bertapis dari Malaysia ke India dalam jangka masa terdekat.
Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata ia susulan tindakan Kementerian Kewangan India mengenakan duti perlindungan sebanyak lima peratus ke atas minyak olein sawit bertapis dari Malaysia yang akan berkuatkuasa bagi tempoh enam bulan iaitu sehingga Mac 2020.
“Dengan berkuatkuasanya duti perlindungan ini, duti import ke atas minyak olein sawit Malaysia telah meningkat kepada 50 peratus, iaitu pada paras yang sama dengan minyak olein sawit bertapis dari Indonesia.
“Pada masa yang sama, perbezaan duti di antara minyak sawit mentah dan minyak olein sawit bertapis adalah sebanyak 10 peratus,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang bertanyakan berkenaan kesan terhadap eksport kelapa sawit daripada tindakan Kerajaan India menaikkan nilai import kepada 25 peratus.
Mengikut rekod, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2019, Malaysia telah mengeksport 2.165 juta tan minyak olein sawit ke India, berbanding hanya 252,816 tan dalam tempoh sama pada tahun 2018, iaitu peningkatan hampir lapan kali ganda.
Pada masa sama, eksport minyak sawit mentah telah merosot sedikit dari 1.228 juta tan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2018 kepada 1.217 juta tan bagi tempoh sama pada tahun 2019.
Oleh kerana peningkatan import minyak olein sawit yang begitu tinggi tersebut, perkara ini telah menimbulkan kebimbangan kepada pihak industri penapisan minyak sayuran India dan pihak berkenaan secara berterusan telah menggesa agar Kerajaan India meningkatkan duti import ke atas minyak olein sawit bertapis dari Malaysia untuk melindungi kepentingan industri penapisan minyak sayuran India.
#Dewan Rakyat #kelapa sawit #Kementerian Kewangan #Malaysia #minyak #minyak sawit #olein sawit #Shamsul Iskandar Mohd Akin #Timbalan Menteri Industri Utama