Eksport makanan akuakultur, nangka ke China dijangka cecah RM42 juta dan RM10 juta
Bernama
April 20, 2023 05:45 MYT
April 20, 2023 05:45 MYT
PUTRAJAYA: Nilai eksport makanan akuakultur dan nangka ke China masing-masing dijangka mencecah RM42 juta dan RM10 juta setahun, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Dalam kenyataan pada Khamis KPKM memaklumkan ia susulan pemeteraian Protokol Kuarantin dan Keperluan Kesihatan bagi Pengeksportan Makanan Akuakultur dan Protokol Keperluan Pemeriksaan dan Kuarantin bagi Pengeksportan Nangka Segar ke China pada 1 April lepas.
Menurut kenyataan itu pemeteraian kedua-dua protokol tersebut membuka ruang pasaran eksport baharu ke negara tembok besar itu melibatkan pengeksportan nangka segar dan makanan akuakultur yang dihasilkan di Malaysia.
"Kerajaan menjangkakan pelaksanaan kedua-dua protokol ini akan menggalakkan perkembangan industri tanaman nangka tempatan serta membuka pasaran baharu kepada kilang makanan akuakultur di Malaysia," menurut KPKM.
Kedua-dua protokol ditandatangani Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mewakili Malaysia dan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) diwakili Menterinya Yu Jianhua ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada 29 Mac hingga 1 April lepas.
Pada 2021, menurut KPKM nilai eksport nangka Malaysia sebanyak RM18.5 juta dengan pasaran utama eksport tersebut ialah Singapura, Republik Czech, Jerman, Hong Kong dan Emiriah Arab Bersatu.
Bagi industri makanan akuakultur pula, pada tahun sama nilai eksport sedia ada bernilai RM53 juta dengan pasaran ke Arab Saudi, Brunei, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam.
Menurut kenyataan tersebut ketika ini Malaysia hanya dibenarkan untuk mengeksport tepung ikan ke China dan pelaksanaan protokol berkenaan berupaya membuka peluang pasaran baharu kepada kilang makanan akuakultur di negara ini.
Pemain industri yang berminat untuk berdaftar sebagai pengeksport nangka ke China boleh menghubungi Jabatan Pertanian dengan mengemukakan e-mel kepada pro@doa.gov.my, manakala bagi pendaftaran pengeksport makanan akuakultur ke China boleh menghubungi Jabatan Perikanan melalui e-mel kepada pro@dof.gov.my.
-- BERNAMA