Eksport durian segar ke China tidak jejas pasaran tempatan

Bernama
Julai 6, 2024 16:29 MYT
Bagi pasaran tempatan, penduduk masih mempunyai pelbagai pilihan termasuk durian kampung. - Gambar fail/Bernama
MELAKA: Pengeksportan pertama durian segar ke China yang dijangka bermula September ini tidak akan menjejaskan pasaran dan harga buah itu di pasaran tempatan.
Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri berkata ini berikutan durian yang dieksport itu khusus bagi pasaran ke China dan durian yang dipilih hanya melibatkan durian klon jenis premium seperti Musang King, IOI atau Duri Hitam serta bergantung kepada permintaan dari negara berkenaan.
"Kita beri jaminan harga durian tidak akan mahal sebab bagi pasaran tempatan, penduduk masih mempunyai pelbagai pilihan termasuk durian kampung. Lagi pula musim kali ini agak panjang iaitu hingga September ini pun kita jangka akan masih ada banyak buah.
"Jadi akan ada durian mampu milik di pasaran tempatan dan mungkin ada kenaikan harga sedikit kerana ada kos yang perlu ditanggung penjual durian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kendurian@Jualan Agro MADANI di sini hari ini.
Penghantaran pertama durian segar ke China yang akan menggunakan laluan udara atau kapal laut itu turut bergantung kepada bekalan yang ada serta permintaan dari negara berkenaan.
"Jika menggunakan kapal laut, kita anggarkan penghantaran sekitar 10 atau 20 metrik tan, manakala bagi pengangkutan udara yang agak terhad, kita jangka dalam satu metrik tan atau 5,000 biji," katanya.
Setakat ini sekitar 70 pusat pembungkusan sedang diaudit oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di samping lebih 200 ladang durian yang mematuhi piawaian Amalan Pertanian Baik memohon untuk proses pengauditan bagi melayakkan buah durian mereka dieskport.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rashid berkata pencapaian Jualan Agro MADANI yang dianjurkan di 3,655 lokasi pada tahun ini hingga 30 Jun lepas mencatatkan nilai jualan RM77.1 juta dengan melibatkan kira-kira 47,125 usahawan tempatan serta membawa nilai penjimatan kira-kira RM23.1 juta kepada pelanggan.
Beliau berkata penganjuran karnival itu yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis lepas melibatkan hampir 15 usahawan, menyasarkan nilai jualan RM500,000 dengan kehadiran 25,000 pengunjung sepanjang tempoh berkenaan.
-- BERNAMA
#durian #eksport #China #pasran tempatan #FAMA
;