Ekspo TVET@KKDW buka ruang kerjasama industri, usahawan

Shuhada Abdul Kadir
September 27, 2024 18:30 MYT
Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW menawarkan pelbagai bidang pengajian berasaskan TVET dan membuka peluang pekerjaan melalui karnival kerjaya. -Astro AWANI
AYER KEROH: Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW membuka pelbagai ruang termasuk kerjasama industri dan usahawan dalam memperhebat peluang pekerjaan dan perniagaan.

Ringkasan AI
  • Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW membuka peluang kerjasama antara industri dan usahawan untuk memperhebat peluang pekerjaan dan perniagaan.
  • Ekspo ini menampilkan teknologi telekomunikasi dan kecerdasan buatan (AI), dengan penyertaan syarikat seperti Dotcom Telecommunications Sdn Bhd dan German-Malaysian Institute (GMI).
  • Ekspo ini menawarkan pelbagai bidang pengajian berasaskan TVET dan membuka peluang pekerjaan melalui karnival kerjaya. Ia juga memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencapai potensi mereka dalam bidang teknikal dan vokasional.

Ia selari dengan usaha kerajaan dalam menjadikan laluan TVET sebagai pilihan utama pendidikan, sekali gus menarik minat pelajar untuk menyertai pelbagai program yang telah disediakan.
Pengarah Dotcom Telecommunications Sdn Bhd, Norazurah Hamid berkata ekspo sebegini membuka ruang kepada orang ramai, khususnya pelajar, untuk mempelajari ilmu TVET.
"Ekspo ini turut memberi peluang kepada syarikat tempatan seperti kami sebagai pemain industri, tentang keperluan masa kini terutamanya di institusi-institusi pendidikan dalam memperkasakan teknologi melalui TVET.
"Saya terkejut juga sebab ramai pelajar datang nak lihat teknologi telekomunikasi, kecerdasan buatan (AI) yang kita pamerkan, dan dari situ kami ketengahkan teknologi yang diguna pakai oleh industri kepada TVET," katanya kepada Astro AWANI.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif German-Malaysian Institute (GMI) Solihin Yusoff berkata, institusi itu mengetengahkan karavan AI yang pertama kali digunakan di institusi pendidikan pada ekspo berkenaan, sekali gus membuka peluang baharu kepada orang ramai.
Katanya, bukan sahaja peluang kepada golongan pelajar, malah kepada penggiat industri yang mencerminkan peranan TVET yang semakin meningkat dalam menggabungkan teknologi dan data untuk mencipta sesebuah inovasi.
"Manfaat dia bukan hanya tertakluk pada pelajar-pelajar, tetapi juga untuk tenaga pekerja.
"Jadi untuk karavan ini, apabila kita menghasilkan AI manual itu nanti, kepenggunaan boleh digunakan dan dapat dihasilkan pelajar itu sendiri.
“Malahan akan menambah juga tenaga pekerja, sebagai contoh membantu untuk mengawal selia program di tapak perkhemahan di serata Malaysia dan sudah pasti akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya
Sementara itu, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah (SM) Teknik Melaka, Haris Herman yang sedang menjalani kursus pengajian kejuruteraan mekanikal mengakui teruja kali pertama menghadiri program seumpama itu.
Menyimpan hasrat untuk menceburkan diri dalam bidang minyak dan gas, remaja itu berkata teknologi yang dipamerkan pada ekspo berkenaan memberi gambaran lebih jelas kepadanya untuk menyambung pengajian dalam bidang TVET di peringkat tertinggi.
"Bila saya datang sini, saya dapat ilmu tentang minyak dan gas. Macam mana nak masuk (belajar), apa langkah yang perlu buat, dan sijil apa untuk masuk," ujarnya.
Ekspo TVET @KKDW 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, bakal membuka peluang kepada orang ramai mengenali bidang teknikal secara lebih dekat.
Tidak hanya itu, ekspo selama tiga hari hingga 29 September ini juga menawarkan pelbagai bidang pengajian berasaskan TVET kepada anak muda, selain turut membuka peluang pekerjaan untuk orang ramai menerusi karnival kerjaya.
Objektif penganjuran Ekspo adalah bagi mempromosikan program dan peluang latihan kemahiran yang disediakan oleh Agensi dan Institusi Pendidikan TVET@KKDW kepada masyarakat serta memberi peluang kepada masyarakat asyarakat bandar dan luar bandar untuk berinteraksi secara terus.
Selain itu, ekspo berkenaan juga adalah bagi meningkatkan sinergi dan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam program TVET@KKDW.
#Ekspo Institusi Pendidikan TVET KKDW #kecerdasan buatan #GMI #Dotcom Telecommunications
;