Eksploitasi pembantu rumah: Lima rakyat Malaysia disekat masuk Indonesia - Duta Besar

Umavathi Ramayah
Disember 14, 2022 19:14 MYT
Hermono berkata, sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara lebih 65 tahun, ini merupakan tindakan sulung diambil Indonesia ke atas rakyat Malaysia mengaitkan isu pembantu rumah. - Foto fail/KBRI Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR: Lima rakyat Malaysia bakal menjadi kumpulan pertama yang akan disekat daripada memasuki Indonesia atas kesalahan mengeksploitasi pembantu rumah negara itu.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, sejak hubungan diplomasi kedua-dua negara lebih 65 tahun, ini merupakan tindakan pertama diambil Indonesia ke atas rakyat Malaysia berhubung isu pembantu rumah.
Katanya, langkah sekatan itu akan dikuat kuasa serta-merta sebaik sahaja proses dokumentasi diluluskan Jabatan Imigresen Indonesia, yang pada ketika ini berada di peringkat akhir.
Menurutnya, lima individu itu adalah termasuk mereka yang pernah dituduh di mahkamah atas kesalahan mendera pembantu rumah warga Indonesia sehingga mati namun dilepaskan.
"Kami tidak perlu maklumkan kepada mereka mengenai sekatan itu, biar mereka sendiri tahu bila sampai di Indonesia, you are not welcome.
"Polisi ini adalah sebagai menghantar mesej jelas kepada semua majikan yang mengeksploitasi dalam sebarang bentuk, tidak kira mendera secara mental, fizikal atau tidak membayar gaji, bahawa kami tidak akan berkompromi dalam isu ini," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI di Kedutaan Indonesia di sini pada Rabu.
Hermono menjelaskan, sebagai Duta Besar beliau mempunyai kuasa untuk mengubal polisi-polisi baharu jika membabitkan rakyat negara itu dan sekatan itu adalah salah satu daripada polisi berkenaan.
Pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan kira-kira 20 lagi rakyat Malaysia bakal memasuki senarai itu dalam masa terdekat.
"Selain lima individu, kita juga sedang meneliti data serta keputusan mahkamah melibatkan lebih 20 individu dan kita akan mengambil tindakan yang sama selepas dimuktamadkan," jelasnya.
#pembantu rumah #Kedutaan Indonesia #Joko Widodo #Wisma Putra
;