Eksploitasi agama, kanak-kanak: 171 individu ditahan dalam serbuan 20 premis GISB

Khalis Khadir
September 11, 2024 15:33 MYT
Antara barangan yang dirampas pihak PDRM dalam serbuan di beberapa premis GISB pada Rabu. - Sumber foto PDRM
KUALA LUMPUR: Seramai 171 individu ditahan pada Rabu selepas polis menyerbu 20 premis di Selangor dan Negeri Sembilan berkaitan siasatan eksploitasi agama dan kanak-kanak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan, kesemua yang ditahan dalam operasi Op Global dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sejumlah 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu dan 17 tahun dengan 201 daripadanya kanak-kanak lelaki dan 201 kanak-kanak perempuan diselamatkan dalam serbuan berkenaan.
Operasi itu susulan laporan pada 2 September lalu yang mendedahkan berlaku dakwaan kesalahan pengabaian serta penganaiayaan terhadap penghuni rumah amal terbabit termasuk kes seksual.
Setakat ini, lapan kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611]; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792]; Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa
Kesemua yang direman sehingga 14 September melibatkan penjaga, guru agama serta pengerusi kesemua rumah ama yang beroperasi di Hulu Selangor, Klang Utara, Shah Alam, Sepang, Kajang, Petaling Jaya, Subang Jaya.
Dua lagi rumah amal berkenaan itu dipercayai di Negeri Sembilan iaitu di Seremban dan Nilai.
Razarudin memaklumkan, modus operandi kepada kes berkenaan turut melibatkan doktrin yang disifatkannya sebagai ‘sangat tidak baik’ kerana menggunakan agama untuk menutup kejahatan.
“Modus operandi kepada Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) ini, mangsa-mangsa ini diajar, dididik meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan (mangsa juga) dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak yang lain juga. Maklumat ini daripada risikan dan percakapan yang telah kita rakam dari awal.
“Keduanya, ialah mangsa-mangsa yang tidak sihat tidak dibenarkan mendapat rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal. Mangsa kanak-kanak dan juga sentimen agama digunakan untuk menagih simpati untuk mendapat sumbangan daripada orang luar," kata Razarudin.
“Mereka dicederakan dengan menggunakan objek panas bagi tujuan mencederakan kanak-kanak yang degil ... ada kanak-kanak lima tahun yang degil dalam tiga empat orang dan dicederakan lengannya dengan sudu yang panas apabila kanak-kanak itu melakukan kesilapan.
“Malah ada petugas-petugas ini juga menyentuh tubuh badan seolah-olah kononnya mengamalkan perubatan bagi merawat mereka yang sakit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Kuantan, pada Rabu.
#Razarudin Husain #eksploitasi kanak-kanak #eksploitasi agama #jenayah terancang
;