[EKSKLUSIF] SPRM lucut hak rampas aset perasuah bernilai RM1.198 bilion tahun ini
Afiezy Azaman
Disember 9, 2019 16:20 MYT
Disember 9, 2019 16:20 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatatkan nilai melucut hak pesalah terlibat rasuah sebanyak RM1.198 bilion sepanjang tahun ini.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, angka itu jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu hanya RM37 juta ringgit sahaja.
“Ini adalah langkah proaktif oleh SPRM untuk mendapatkan kembali dana yang telah dicuri individu atau pihak tertentu tanpa menunggu proses pendakwaan dijalankan di mahkamah.
“Sejak kebelakangan ini, (SPRM) lebih agresif menggunakan Akta Pengubahan Wang Haram kerana akta ini satu ‘complimentary law’ dan dikenakan dalam kes rasuah berskala besar dimana kita cari semula duit yang disembunyi atau dibelanjakan.
“Kalau dulu kita cuba kaedah lain tidak banyak kita dapat, tapi tahun 2018 kita dapat lucut hak sebanyak RM37 juta tapi 2019 kita dapat lucut hak sebanyak RM1.198 bilion,” katanya ketika ditemubual dalam program Awani Pagi terbitan Astro AWANI pada Isnin.
BACA: [EKSKLUSIF] Ramai pegawai kerajaan kini terima pakej rasuah - SPRM
Mengulas lanjut, Azam berkata, semua pihak perlu menyedari bahawa badan pencegah rasuah itu tidak mencari keuntungan kepada kerajaan sebaliknya perlu melihat kepada tindakan yang dikenakan kepada seseorang itu.
“Walau lima sen sekalipun kita nak ambil dan pulangkan kepada rakyat, apabila tindakan membekukan aset-aset penjenayah ini muka mereka cukup gelisah.
“Sebelum kes ini dibawa ke mahkamah kita, boleh lucutkan hak harta dan asset mereka terlebih dahulu menggunapakai Seksyen 41 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001,” jelasnya.
#Akta Pengubahan Wang Haram
#dana
#Datuk Seri Azam Baki
#mahkamah
#melucut hak
#proses pendakwaan
#Rasuah
#Seksyen 41 Akta SPRM 2009
#SPRM
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia