[EKSKLUSIF] Saya sedia mohon maaf jika ada kesilapan - Xavier Andre Justo

Ibrahim Sani
November 2, 2018 11:32 MYT
Xavier Justo (kanan) ketika diwawancara editor Astro AWANI Ibrahim Sani. -Foto Astro AWANI/Ibrahim Sani
Pemberi maklumat warga Switzerland, Xavier André Justo sedia memohon maaf kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berhubung dakwaan dipaksa memuji bekas perdana menteri Datu Seri Najib Tun Razak.
"Untuk rekod, saya tidak pernah mengatakan Amar Singh atau pihak polis Malaysia yang memaksa saya memuji Datuk Seri Najib (Tun Razak).
"Tetapi, jika benar ada pihak yang merasakan saya berbuat salah, saya sedia memohon maaf," kata Justo.
Namun begitu beliau bertegas mempunyai bukti ada pihak yang memaksa beliau melakukannya.
"Mungkin percakapan saya disalah tafsir oleh pihak wartawan yang ada pada ketika itu. Saya tidak pernah berkata yang Amar Singh sendiri memaksa saya berkata demikian, tetapi saya ada nota yang membuktikan ada pihak yang benar-benar memaksa saya memuji bekas perdana menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Tetapi pihak ini bukannya Amar (Singh) mahupun mana-mana pihak Polis Diraja Malaysia," kata Justo ketika dihubungi Astro AWANI.
BACA: Polis sangkal dakwaan Justo atas dakwaan yang beliau dipaksa memuji Datuk Seri Najib Razak secara terbuka
Semalam, Amar Singh menafikan dakwaan yang pihak polis memaksa Justo untuk memuji Najib secara terbuka.
"Jelas sekali, dapat dilihat bahawa soalan itu yang dikatakan ditanya oleh kami tiada kaitan sama sekali dengan siasatan, justeru, adalah bodoh bagi kami untuk bertanyakan soalan seperti itu.
"Sama ada Justo 'adalah orang yang jahat, sukakan wang dan Tarek (Tarek Obaid, pengasas bersama dan CEO PetroSaudi International) dan PetroSaudi adalah baik' dan 'soalan tentang Najib sebagai PM terbaik' tidak mempunyai kaitan dengan kes yang sedang disiasat.
"Tahap profesionalisme Polis Diraja Malaysia lebih daripada itu," kata Amar Singh.
Sementara itu, berhubung tindakan Leissner mengaku bersalah atas tuduhan mencuri wang berbilion ringgit daripada 1MDB, Justo berkata ia satu tindakan yang bagus kerana menunjukkan Leissner mementingkan hak dan kepentingan awam.
"Saya tahu, sebab Leissner mengaku bersalah adalah kerana beliau membuat rundingan senyap dengan pihak berkuasa AS. Dan tindakan beliau mengaku bersalah mungkin kerana beliau hanya mementingkan diri sendiri dengan tujuan untuk meringankan hukuman ke atas dirinya.
"Tetapi, disebabkan beliau mengaku bersalah, ini memendekkan tempoh perbicaraan mahkamah dan sekali gus menyebabkan kesemua yang lain yang terlibat juga bersalah," kata Justo lagi.
#1MDB #Astro #Bukit Aman #Jho Low #Najib Razak #PDRM #PetroSaudi #siasatan #Switzerland #tim liessner #Xavier Andre Justo
;