Eksklusif: Hidupan liar ditemui dalam 'freezer', pemburu haram terus ceroboh khazanah negara!
Hasimi Muhamad
Julai 5, 2020 09:30 MYT
Julai 5, 2020 09:30 MYT
Perdagangan dan pemburuan hidupan liar bukan hanya menjadi ancaman di rantau Asia, bahkan turut dibimbangi menjadi pemangkin kepada kepupusan spesies haiwan dilindungi di negara ini.
Bagaimanapun, penguatkuasaan termasuk sekatan jalan raya yang diadakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu menyaksikan penurunan kes jenayah hidupan liar di negara ini.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendedahkan kegiatan haram itu menurun sebanyak 30 peratus dalam tempoh Mac hingga Jun berbanding tempoh sama tahun lalu.
Persoalannya, dengan perintah sekatan perjalanan dan pergerakan yang semakin longgar, adakah kes pemburuan haram akan kembali meningkat?
Astro AWANI baru-baru ini berpeluang menemu bual Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Perhilitan, Dr Pazil Abdul Patah bagi melihat sejauh mana aktiviti haram itu berlaku ketika negara sedang giat mengekang penularan pandemik COVID-19, selain usaha berterusan pihak berkuasa dalam mengekang aktiviti pemburuan haram.
Menurut Pazil, usaha membanteras jenayah hidupan liar terus diperketatkan melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilancarkan sejak September tahun lalu.
Menerusi OBK, sebanyak 33 kes melibatkan 64 pesalah berjaya dibanteras setakat tahun ini, membabitkan nilai rampasan melebihi RM636,000.
Daripada kes tersebut, tiga kes selesai; siasatan (21 kes); dibicarakan di mahkamah (satu); tindakan agensi lain (tujuh); serta proses penganalisaan DNA (satu).
Pazil berkata, 21 kes pelanggaran Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dikesan oleh Perhilitan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh PKP, membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kegiatan memburu.
Jelas belliau, OBK tertumpu di beberapa lokasi ‘hotspot’ termasuk di tiga landskap utama negara iaitu Belum Temenggor,; Taman Negara Titiwangsa; serta Taman Negeri Endau-Rompin.
“Dari rekod kita, dalam tempoh tersebut spesies (yang berjaya diburu) adalah kijang, kambing gurun, landak, babi hutan serta pelanduk.
“Maknanya, kalau lihat kepada spesies yang diburu, ia untuk dimakan. Ini bermaksud, (kegiatan pemburuan tersebut berkemungkinan) untuk kegunaan tempatan dan bukan dieksport sepanjang tempoh PKP,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.
Tiada kesan penglibatan warga asing
Jelas Pazil, kebiasaan kegiatan pemburuan haram didalangi oleh individu dan kumpulan sindiket, melibatkan rakyat tempatan atau warga asing.
Namun, beliau berkata hasil siasatan mendapati sepanjang tempoh PKP, aktiviti menjarah khazanah negara dipercayai hanya melibatkan warga tempatan.
Pazil menambah pihak Perhilitan dan PDRM juga tidak menemui sebarang kesan terbaru melibatkan warga asing termasuk pemasangan jerat atau pengambilan kayu gaharu.
“Jadi, dalam tempoh PKP, sindiket yang melibatkan warga asing macam terhenti dan tidak aktif. Masyarakat tempatan yang tinggal berhampiran masih lagi menjalankan aktiviti tersebut.
“Namun begitu, pihak Perhilitan dan PDRM telah menjalankan risikan di kawasan-kawasan tersebut dan melalui informasi yang diperolehi, kita telah pergi ke rumah-rumah pemburu dan kawasan yang mereka aktif melakukan aktiviti memburu pada waktu siang atau malam,” katanya.
Pelanduk, kijang, kambing gurun ditemui dalam ‘freezer’
Serbuan di lokasi yang disyaki menjadi markas aktiviti pemburuan haram berjaya menemukan hidupan liar yang disimpan di dalam peti sejuk beku, dipercayai untuk tujuan perdagangan dan kegunaan peribadi.
Pazil tidak menolak kemungkinan bahawa sebilangan rumah milik orang kampung di lokasi tersebut turut memiliki peti sejuk beku sebagai tempat penyimpanan hidupan liar.
“Antara hidupan liar yang ada (dalam peti sejuk beku) adalah pelanduk, kijang serta kepala kambing gurun.
“Ini adalah bukti yang menyatakan bahawa berlaku aktiviti pemburuan haram, dan hasil risikan kita juga telah berjaya ke rumah individu yang memang menjalankan aktiviti pemburuan haram,” ujarnya lagi.
Dianggarkan anggota badan haiwan tersebut dijual pada harga antara RM100 dan RM150 sekilogram di pasaran tempatan.
Manakala, harga bagi seekor Harimau Malaya pula boleh mencecah RM200,000 dan RM300,000 seekor di pasaran gelap antarabangsa, tambah Pazil.
Jerat tidak kenal mangsa!
Menyifatkan perbuatan memasang jerat sebagai ‘jahat’, Pazil berkata modus operandi yang digunakan oleh kumpulan tersebut adalah dengan memasang jerat dawai di sepanjang laluan haiwan liar tersebut.
Menurut beliau, sebanyak 345 utas jerat telah berjaya dimusnahkan setakat Januari hingga Mei lalu termasuk jerat sembat, burung, nylon, serta jebak.
“Ini adalah jerat yang kita temui di hutan di lokasi-lokasi yang dipasang oleh pemburu haram. Jadi, salah satu tugas OBK adalah mencari dan memusnah jerat.
“Kita tahu ‘hotspot’ di mana orang ini (pemburu haram) akan masuk dan memasang jerat di lokasi tersebut.
“Kita juga sudah senaraikan ‘trail’ (bekas tapak kaki) yang selalu ada pemasangan jerat dan kita terus ke lokasi tersebut. Jadi, sekarang kita mungkin akan ke lokasi tersebut dua kali seminggu untuk melihat sama ada jerat dipasang atau sebaliknya,” kata Pazil.
Mengulas lanjut, beliau berkata jerat tersebut dipasang dalam anggaran radius dua hingga 20 kilometer ke dalam hutan.
“Biasanya yang paling teruk adalah warga asing… mereka akan pasang sepanjang laluan hidupan liar dan kadang-kala jerat dipasang setiap 100 meter atau 200 meter di sepanjang enam kilometer.
“Jadi, ia akan menggena pada hidupan liar yang lalu. Tugas kita sebolehnya jangan bagi warga asing masuk (dalam negara) dan kalau kita menerima maklumat, kita akan segera ke lokasi, musnah jerat serta menangkap warga asing tersebut,” katanya.
Sistem teknologi kesan aktiviti pemburuan haram
Kecanggihan teknologi telah digunakan sebaik mungkin oleh pihak berkuasa dalam mengekang kemusnahan flora dan fauna negara.
Selain risikan, Pazil berkata pihaknya turut memasang kamera yang dihubungkan terus ke telefon bimbit anggota terlibat bagi mengesan kehadiran pemburu haram di kawasan hutan.
Katanya, seramai 200 anggota yang terdiri daripada Perhilitan, PDRM dan Jabatan Perhutanan terlibat dalam mengawal dan menjaga kawasan hutan simpan di seluruh negara.
Selain itu, Pazil berkata anggota terlibat turut ditempatkan di kawasan sekatan jalan raya bagi kes-kes dan tempoh tertentu.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai boleh menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa dalam mengekang jenayah hidupan liar tersebut.
#Asia
#binatang
#buru
#flora dan fauna
#Harimau Malaysia
#hidupan liar
#jerat
#Khazanah
#PDRM
#pemburuan haram
#Perhilitan
#PKP
#PKPP
#polis
#warga asing
#Warga asing buru binatang