[EKSKLUSIF] Ebit Lew akan beri hadiah kepada isteri setiap kali pulang dari misi
Israr Khalid
Mac 4, 2021 18:28 MYT
Mac 4, 2021 18:28 MYT
KUALA LUMPUR: Di sisi setiap lelaki yang berjaya, pasti ada wanita hebat yang menyokongnya.
Begitu juga pendakwah muda Ebit Lew, yang berkongsi cerita bagaimana kehadiran seorang isteri yang baik hati dan memahami banyak membantu melancarkan kerja dakwahnya. Dan kehadirannya di sisi itu amat disyukuri dan dihargai.
“Kalau saya beritahu isteri saya yang saya nak pergi ke mana-mana misi, dia akan terus siapkan beg baju dan keperluan untuk sepanjang pemergian saya.
“Dia pun sudah biasa saya tak balik untuk satu tempoh yang lama. Dia tahu saya bekerja di jalan Allah untuk membantu orang,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Astro AWANI.
Untuk itu, Ebit tidak akan lupa untuk membelikan isterinya hadiah setiap kali pulang dari misi. Bukan apa, sekadar secebis tanda terima kasih atas pengorbanan segala masa dan tenaga untuk memastikan kelancaran kerja amalnya serta kebajikan anak-anaknya sentiasa terurus.
Kongsinya lagi, pernah dahulu ketika dia masih bergaji kecil, dia memberikan hadiah yang mahal untuk cinta hatinya itu.
“Sebab itu setiap kali saya balik, saya akan belikan hadiah dan selalunya bunga.
“Dulu masa gaji saya RM1,200, saya belikan sejambak bunga yang besar berharga RM400. Saya nak gembirakan beliau.”
Apabila sudah di rumah, Ebit akan menjalankan setiap kegiatan secara bersama, khususnya solat dan makan secara berjemaah. Baginya itu yang mengeratkan kembali pertalian kasih antara mereka selagi ada usia dan kesempatan.
Ebit juga rajin membawa isteri dan anak-anak berjalan-jalan, dan sempat mencuri masa di ruang antara dua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari untuk keluar dari rumah dan melihat dunia ciptaan Tuhan.
“Walaupun ada sesetengah orang marah, saya cepat-cepat bawa anak isteri ke tempat yang tak ada orang sangat untuk bercuti. Memang dari dulu lagi.”
Diakuinya, memang sedih meninggalkan keluarga khususnya anak-anak yang manja dengannya. Namun perjuangan perlu diteruskan dan isteri serta anak-anaklah yang menjadi semangatnya untuk melunaskan tanggungjawab dan segera pulang ke pangkuan mereka.
“Mereka rindu pada saya, saya lagi rindu pada mereka. Hanya Allah yang dapat membalas pengorbanan susah payah mereka.
“Saya bukanlah ayah dan suami yang sempurna. Di rumah, saya cuba menjadi yang terbaik untuk mereka. Semoga Allah ampunkan dosa saya,” jelasnya.
Ebit Lew sering beri hadiah kepada isteri selepas pulang dari misi