Eksesais Seacat Maritim Malaysia-Tentera Laut AS erat hubungan diplomatik
Bernama
Ogos 23, 2021 20:15 MYT
Ogos 23, 2021 20:15 MYT
IPOH: Sesi latihan bersama antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Perak dan Tentera Laut Amerika Syarikat berupaya mengeratkan hubungan diplomatik serta mempromosi negara dalam konteks kedaulatan perairan negara di peringkat global.
Pengarah Maritim Negeri Perak Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata sesi latihan melalui platform Kerjasama dan Latihan Asia Tenggara (Seacat) telah diadakan pada 14 hingga 20 Ogos lepas di sekitar perairan Pulau Jarak.
Menurutnya, ia antara lain dapat meningkatkan tahap pengetahuan dan kecekapan pegawai serta anggota Pusat Operasi dalam mengendalikan alat komunikasi dan perhubungan antara negara.
Katanya, dalam fasa pertama eksesais berkenaan, seminar Keselamatan Maritim dilakukan secara maya di Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya pada 10 hingga 13 Ogos , manakala fasa kedua dilakukan di sekitar perairan Pulau Jarak pada 14 hingga 20 Ogos dengan Kapal Maritim (KM) Nyalau mewakili Maritim Malaysia.
"Semasa sesi eksesais fasa laut, latihan komunikasi telah dilakukan yang melibatkan KM Nyalau, USS Tulsa milik Tentera Laut Amerika Syarikat, kapal tangki Silver Hana serta pihak Information Fusion Centre (IFC).
"Selain itu, KM Nyalau turut melaksanakan misi penggeledahan secara hibrid menggunakan peranti komunikasi antara Vessel of Interest (VOI) untuk mendapatkan maklumat dan disalurkan pada agensi sahabat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shahrizan berkata beberapa siri latihan lain juga dilaksanakan oleh KM Nyalau bersama Tentera Laut Amerika Syarikat meliputi operasi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah serta penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
"Eksesais ini dilaksanakan di Pusat Operasi agensi yang terlibat, dengan dikoordinasikan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM) serta Bahagian Keselamatan dan Penguatkuasaan Maritim (BKPM) Ibu Pejabat Maritim Malaysia dengan menggunakan peranti komunikasi dalaman seperti Government Integrated Radio Network (GIRN), telefon dan e-mel," katanya.
-- BERNAMA