Eksesais Mantis tingkat kewaspadaan, kompetensi tentera hadapi ancaman pelbagai dimensi
Bernama
Mac 7, 2024 22:42 MYT
Mac 7, 2024 22:42 MYT
MELAKA: Angkatan Tentera Malaysia berharap kerjasama dengan Tentera Kanada menerusi Eksesais Mantis akan diteruskan dengan matlamat meningkatkan tahap kewaspadaan dan kompetensi dalam menghadapi ancaman pelbagai dimensi.
Timbalan Panglima Tentera Darat Ketua Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata latihan bilateral itu yang kali pertama diadakan pada 2015 merupakan platform yang efektif untuk menguji dan melatih tentera dalam menangani situasi pengganas.
"Latihan ini ialah bukti komitmen kedua-dua negara dalam meningkatkan keupayaan untuk beroperasi dengan berkesan dalam persekitaran ancaman pelbagai dimensi hari ini, seperti ancaman kimia, biologi, radiologi, nuklear dan letupan (CBRNe)," katanya pada penutupan Eksesais Mantis Siri 10/2024 di Dataran Parawood, Kem Terendak di sini hari ini.
Turut hadir menyaksikan upacara itu Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Wayne Robson.
Tengku Muhammad Fauzi berkata latihan tahunan itu dilihat berhasil di samping meningkatkan keyakinan dan keupayaan tentera Malaysia untuk beroperasi dalam sebarang insiden CBRNE yang boleh berlaku di negara ini atau mana-mana bahagian dunia.
"Ia memberikan kami pendedahan, pengalaman dan pengajaran yang tidak ternilai yang akan menjadi platform yang memandu kami untuk meningkatkan keupayaan dan terus bersedia menghadapi ketidaktentuan dan saya percaya latihan dan usaha dua hala ini akan terus menjadi pengikat hubungan kami dengan Angkatan Tentera Kanada dan dikukuhkan lagi pada tahun-tahun mendatang," katanya.
Sepanjang 10 minggu latihan, seramai 35 pegawai dan 113 anggota Tentera Darat Malaysia dan Pasukan Gerakan Khas Kanada telah menggabungkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman mereka dalam siri latihan silang dan latihan intergrasi pasukan yang berstruktur, dengan latihan lapangan pelbagai senario sebagai kemuncak latihan
-- BERNAMA