Eksesais Amfibi Siri 3 wujudkan interoperabiliti dalam operasi ketenteraan Malaysia-AS

Bernama
November 13, 2016 21:22 MYT
Ahmad Kamarulzaman berkata, eksesais ini melibatkan pelbagai fasa latihan seperti staff exercise STAFFEX dan Field Traning Exercise FTX. - Gambar fail
Eksesais Amfibi Siri 3 melibatkan tentera Malaysia dan Amerika Syarikat penting bagi mewujudkan interoperabiliti dalam operasi ketenteraan dan meningkatkan kemahiran anggota terlibat.
Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin berkata sepanjang eksesais lima hari bermula 9 November di Kampung Tanduo di sini, pelbagai tahap persefahaman seperti perancang latihan dan aspek operasi bersama berjaya diwujudkan.
"Eksesais ini melibatkan pelbagai fasa latihan seperti staff exercise STAFFEX dan Field Traning Exercise FTX meliputi pendaratan dan serangan Amfibi serta latihan praktikal ikhtiar hidup di hutan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas Eksesais AMFIBI berakhir, beliau berkata jalinan kerjasama antara tentera AS dan Malaysia semakin erat dan padu.
"AS ada banyak pengalaman dalam peperangan dan kita pula mempunyai pengalaman tersendiri dalam bantuan kemanusian dan dalam hal ini, AS dan kita boleh berkongsi pengalaman," katanya.
Eksesais kali ini melibatkan 570 anggota terdiri dari 341 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan 229 anggota tentera marin AS.
Dalam pada itu, Ahmad Kamarulzaman berkata eksesais itu turut menekankan latihan ancaman keselamatan di sektor maritim.
"Menurutnya ancaman di sektor maritim, perlu ditangani bersama dan tidak boleh ditangani oleh sebuah negara sahaja," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin #Amerika Syarikat #Eksesais Amfibi #Malaysia #panglima #TUDM
;