Eksekutif kanan syarikat petroleum nafi seleweng minyak pelincir kenderaan

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 26, 2022 14:42 MYT
Tertuduh, Sheikh Izzuddin Sheikh Salleh mengaku tidak bersalah mengalihkan sebahagian minyak milik syarikat dan menyalahgunakannya dengan anggaran RM113,000. - Gambar Astro AWANI
AYER KEROH: Seorang bekas eksekutif inventori kanan sebuah syarikat petroleum terkenal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah dengan menyeleweng minyak pelincir kenderaan milik majikannya dua tahun lalu.
Tertuduh, Sheikh Izzuddin Sheikh Salleh, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus satu pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu diamanahkan dengan penguasaan harta iaitu 24,461.43 kilogram (kg) minyak pelincir dengan anggaran harga RM113,000 didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan mengalihkan sebahagian minyak milik syarikat dan menyalahgunakannya.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta denda.
Sementara itu, dua lagi rakannya turut didakwa di dua mahkamah berasingan di hadapan Mohd Sabri dan Hakim Nariman Badruddin atas dakwaan dengan curang bersubahat melakukan pecah amanah berkenaan.
Kedua-dua tertuduh masing-masing Mohammad Safiy Khan Muzair Khan, 33, dan Mohd Zakry Abu Bakar,38, yang juga seorang kontraktor dan polis bantuan, bagaimanapun, turut mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka di bacakan oleh jurubahasa.
Justeru, mereka berdua didakwa mengikut seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 408 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau maksimum 14 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.
Kesemua Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 20 September 2020, kira-kira jam 9 pagi hingga 1 November 2020 kira-kira jam 11.16 pagi di kawasan MG3 Melaka Lubricant Sdn Bhd (MLBP) Sungai Udang.
Mohd Sabri pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh Sheikh Izzuddin dan rakannya Mohammad Safiy Khan dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Sementara Hakim Nariman menetapkan jaminan RM 7,000 kepada Mohd Zakry selain ketiga-tiga tertuduh dibicarakan serentak pada 26 September ini.
Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Anis Najwa Nazari.
Semua tertuduh diwakili oleh peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, Fahmy Sulaiman, Faiezad Razali dan Melvin Tay Yee Shian.
#Eksekutif Kanan #syarikat petroleum #seleweng #minyak pelincir kenderaan
;