Eksekutif kanan GLC direman disyaki terlibat rasuah RM500,000

Astro Awani
September 5, 2023 16:20 MYT
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali mengeluarkan perintah reman selama lima hari bermula Selasa hingga 9 September 2023.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan reman seorang pegawai eksekutif kanan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) kerana disyaki terlibat dengan rasuah.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu disyaki terlibat dengan rasuah berjumlah kira-kira RM500,000 bagi mendapatkan tender bernilai kira-kira RM70 juta.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali mengeluarkan perintah reman selama lima hari bermula Selasa hingga 9 September 2023.
Perintah reman itu dibuat selepas permohonan daripada SPRM di Mahkamah Majistret Kuching pada pagi Selasa.
Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, dalam kes berasingan di Kelantan, SPRM menahan reman seorang anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM10,000.
Wang itu adalah sebagai sogokan tidak mengambil tindakan terhadap suspek atas kesalahan membawa dan memiliki ketum seberat 280 kilogram.
Majistret Rais Imran Hamid mengeluarkan perintah reman lima hari bermula Selasa selepas mendapat permohonan SPRM di Mahkamah Majistret 3, Kota Bharu pada Selasa.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu telah ditahan semalam kira-kira jam 11.30 malam di pejabat SPRM Kelantan ketika hadir memberi keterangan.
“Katanya, suspek dipercayai menerima wang sogokan berjumlah kira-kira RM10,000 secara tunai pada 7 Mei 2023 di Jeli, Kelantan,” katanya.
Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
#SPRM #Sarawak #kerajaan negeri #GLC
;