Eksekutif akaun didakwa tunjuk isyarat lucah, halang tugas polis iring kenderaan TPM
Bernama
Februari 13, 2025 18:35 MYT
Februari 13, 2025 18:35 MYT
Joshua didakwa menghalang Sarjan Mohd Faiz, Sarjan Mejar Francis, Koperal Fazlil dan Koperal Timotius daripada menjalankan tugas hakiki dengan memintas kenderaan pengiring.- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang eksekutif akaun syarikat pengiklanan didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menunjukkan isyarat lucah dan menghalang tugas anggota polis dengan memintas kenderaan yang mengiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, minggu lepas.
Joshua Chong Tien Kit, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin dan S. Mageswary.
Di hadapan Majistret Mageswary, Joshua didakwa menghalang Sarjan Mohd Faiz, Sarjan Mejar Francis, Koperal Fazlil dan Koperal Timotius daripada menjalankan tugas hakiki dengan memintas kenderaan yang mengiringi kenderaan dinaiki timbalan perdana menteri itu di persimpangan jalan hadapan sebuah kedai makan di Taman Tun Dr Ismail pada 2 petang, 8 Feb lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Majistret Aina Azahra, lelaki berkenaan didakwa memberi isyarat kurang senonoh dengan menunjukkan jari tengah pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Faiz Abu Samah dan Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh masing-masing menawarkan jaminan RM5,000 dan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Chong memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya masih bujang dan tiada risiko untuk melarikan diri selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Mangsa-mangsa dalam kes ini merupakan anggota polis dan pengiring kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan tidak mungkin tertuduh akan mengganggu mana-mana saksi atau mangsa dalam kes ini," kata peguam itu.
Kedua-dua mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM5,900 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 April ini untuk sebutan kes.
-- BERNAMA
#eksekutif akaun didakwa
#tunjuk isyarat lucah
#halang tugas anggota polis
#polis iring kenderaan TPM
#Joshua Chong Tien Kit