Ekosistem yang kondusif diperlukan untuk lahirkan ramai usahawan - Rafizi
Astro Awani
Mei 3, 2023 22:22 MYT
Mei 3, 2023 22:22 MYT
KUALA LUMPUR: Ekosistem yang kondusif perlu diwujudkan kepada usahawan digital dan syarikat pemula di negara ini bagi memastikan ia dapat meyakinkan pelabur-pelabur luar negara melihat Malaysia sebagai pusat inovasi dan ekonomi digital di rantau ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan ekosistem yang kondusif itu juga dapat memberi jaminan untuk menambahkan lagi jumlah syarikat pemula atau anak muda yang berminat dalam bidang keusahawanan.
Rafizi menjelaskan, syarikat pemula dan usahawan di negara ini bukan hanya memerlukan dana dari kerajaan sebaliknya ia boleh juga datang dari pihak swasta dan pelabur dalam dan luar negara.
"Kerajaan bertanggungjawab bukan hanya pendanaan tetapi memastikan pendanaan itu berjalan dengan rancak dan untuk itu ia tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata.
"Ia perlukan pelaburan dan suntikan sektor swasta terutama pelabur dari dalam dan luar negara seperti mana di negara-negara lain.
"Kalau kita tengok di Silicon V alley hampir semuanya dipacu oleh pelaburan swasta, jadi untuk menarik pelaburan swasta sebab itu ia beralih kepada komponen lain dalam ekosistem itu iaitu mereka mahu melihat betapa rancak dan betapa tingginya tahap inovasi yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam program Agenda AWANI yang membincangkan tentang Rancangan Realiti TV Inovasi (INNOVATHON), yang dijangka bersiaran pada Jun depan selama 10 minggu.
Rafizi menjelaskan, pemikiran lama yang melihat model kejayaan dalam kerjaya adalah makan gaji perlu diubah kerana ia tidak lagi sesuai pada masa sekarang.
Ujar beliau, masyarakat perlu disedarkan bahawa pendapatan bulanan yang baik sebenarnya boleh diperolehi dengan mengusahakan sendiri produk, syarikat ataupun perkhidmatan yang kita tawarkan.
"Kita perlu mula ubah pandangan masyarakat agar turut menerima bahawa untuk ada masa depan yang baik, pendapatan bulanan yang baik sebenarnya bukan hanya makan gaji
"Mengusahakan sendiri produk, syarikat ataupun perkhidmatan yang kita tawarkan dengan inovasi itu sebenarnya juga ada potensi pendapatan dan kerjaya yang baik.
"Ini yang kita sedang usahakan bersama-sama Astro untuk mendidik dan memberi keyakinan dan pada masa yang sama memberi latihan secara tidak formal kepada masyarakat kita," katanya lagi.
Rafizi menjelaskan. menerusi program INNOVATHON itu pihak berharap orang ramai terutama generasi muda melihat terdapat pilihan lain untuk mendapatkan pendapatan yang baik selain makan gaji.