Ekosistem pekerjaan peka gender jamin wanita kekal dalam pasaran kerja profesional - NCWO

Bernama
September 13, 2022 14:17 MYT
Penyediaan ekosistem pekerjaan dan kemudahan mesra wanita, penting bagi mengimbangi keperluan golongan itu sebagai pekerja lebih-lebih lagi mereka yang berkeluarga. - Gambar hiasan/Reuters
KUALA LUMPUR: Ekosistem pekerjaan, polisi serta kemudahan yang peka gender dilihat mampu menjamin golongan wanita profesional dan berkemahiran tinggi untuk kekal dalam pasaran pekerjaan khususnya bidang tenaga pakar.
Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Prof Emeritus Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata penyediaan ekosistem pekerjaan dan kemudahan mesra wanita, penting bagi mengimbangi keperluan golongan itu sebagai pekerja lebih-lebih lagi mereka yang berkeluarga.
Jelas beliau, kajian mendapati trend wanita bekerjaya terutama dalam bidang profesional dan kemahiran tinggi meninggalkan pasaran pekerjaan apabila mencapai usia 30 ke atas disebabkan beberapa faktor seperti penuaan serta tanggungjawab membina keluarga.
"Antara kemudahan itu, kita mahu majikan menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di premis masing-masing untuk memudahkan pekerja wanita berkeluarga ini menguruskan keluarga tanpa perlu berhenti kerja.
"Selain itu, dalam tempoh penularan COVID-19 sebelum ini, kemudahan bekerja dari rumah atau waktu kerja fleksible diperkenalkan...ini antara inisiatif yang perlu diteruskan untuk membantu pekerja wanita yang berkeluarga dan mengelakkan mereka berhenti kerja," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Sharifah Hapsah berkata, majikan dan masyarakat tidak seharusnya melihat kemudahan atau dasar peka wanita sebagai 'layanan istimewa' kepada golongan itu, sebaliknya ia cara untuk menggembleng dan tidak merugikan tenaga kerja, peranan serta kemahiran wanita dalam setiap bidang.
Beliau berkata, apabila tiada kemudahan yang peka kepada keperluan wanita terutama yang berkeluarga, mereka mula meninggalkan pasaran pekerjaan untuk memberi fokus menguruskan keluarga dan rumah tangga.
"Bila ramai wanita profesional dan berkemahiran tinggi berhenti kerja, ini akan mencetuskan kelompongan atau ketidakseimbangan gender dalam bidang tenaga kerja profesional dan kemahiran tinggi...satu kerugian buat negara.
"Akibat tiada polisi yang peka kepada keperluan wanita, mereka tiada pilihan selain terpaksa berhenti kerja dan mengorbankan bakat, kemahiran dan kelayakan mereka," katanya.
Sharifah Hapsah berkata dalam masa sama pandangan skeptikal terhadap wanita yang sering dianggap tidak mampu menggalas tanggungjawab sebagai ketua, pemimpin atau pembuat keputusan perlu dihapuskan.
Tegasnya penglibatan wanita dalam kumpulan pentadbiran dan pengurusan amat penting untuk mencapai sesuatu keputusan yang lebih berkualiti kerana pemikiran serta pandangan wanita berbeza dengan lelaki.
"Ramai mungkin mengatakan wanita sebagai ketua akan memimpin secara beremosi, tidak tepat sama sekali...sebaliknya apabila adanya wanita, ia mewujudkan ruang perbincangan yang penuh dengan pelbagai perspektif.
"Malah wanita sebagai pembuat keputusan atau diberi peranan besar dalam pengurusan akan menjadikan setiap keputusan yang dicapai lebih berkualiti, malah ia mewujudkan kesamaan gender serta diversiti dalam organisasi," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Yang Dipertua NCWO itu turut mencadangkan agar kerajaan terus melaksanakan penambahbaikan dalam sudut perundangan termasuk melakukan pindaan kepada Perlembangaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu taraf kewarganegaraan anak kepada wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing.
Mengambil contoh Rang Undang-undang Antigangguan Seksual 2021 yang diluluskan Dewan Rakyat pada Julai lepas, beliau menyifatkan ia sebagai kejayaan awal dan langkah ke hadapan untuk memartabatkan darjat wanita.
"Sudah tiba masanya, undang-undang sedia ada disemak dan dipinda bagi memastikan setiap peraturan lebih inklusif kepada wanita dan lelaki serta tidak dilihat berat sebelah," katanya yang optimis peranan wanita dalam pelbagai sektor pekerjaan akan terus diperkasakan.
-- BERNAMA
#wanita #pasaran kerja #bidang profesional #tenaga pakar
;