Ekosistem keusahawanan kondusif perlu diwujudkan, sokong pertumbuhan perniagaan

Haikal Raman
Julai 22, 2023 15:15 MYT
Ekosistem kondusif kepada para usawahan PMKS dilihat mampu mempertingkatkan daya tahan dan daya saing mereka ketika pasca pandemik COVID-19.
KOTA KINABALU: Dalam membina semula ekonomi, ekosistem keusahawanan yang kondusif perlu diperkukuhkan untuk menyokong pertumbuhan usahawan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
Menurut beliau, galakan, insentif dan dorongan penuh harus diberikan kepada PMKS supaya mereka berupaya membangunkan perniagaan berdaya saing dan mampan yang seharusnya menyumbang kepada kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat.
KUSKOP terdahulu menggariskan tiga hala tuju penting dalam merangka strategi, inisiatif dan intervensi bagi memperkukuhkan pemulihan dan pemerkasaan usahawan.
“Ia termasuk mempertingkatkan daya tahan dan daya saing usahawan pasca pandemik COVID-19 serta memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan keusahawanan yang fasilitif serta efektif.
“Hala tuju turut ini turut melibatkan penyediaan ekosistem yang kondusif bagi menyokong selain memacu pemulihan, pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawan negara," katanya ketika melancarkan program Jelajah Jiwa SME 2023 di Imago Shopping Mall di sini pada Sabtu.
Penganjuran Jelajah Jiwa SME 2023 di Sabah selama dua hari ini menyasarkan seramai 30,000 pengunjung dan bakal membawakan sesi perkongsian ilmu di pentas bersama ikon keusahawan iaitu Richard Ker, Lan Solo, wakil IKSnita, Jessica Yew serta Denny.
Memfokuskan kepada inisiatif usahawan di Sabah, KUSKOP sebelum ini turut melancarkan beberapa usaha antaranya Program seperti Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), Perniagaan Usahawan Mikro (BizME), Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE), Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) dan Pembiayaan BRTani (BRTani).
“SPUT oleh TEKUN Nasional merupakan skim pembiayaan khusus untuk usahawan yang berniaga di Pasar Tamu khususnya Sabah dan Sarawak.
“Had maksimum pembiayaan sehingga RM5,000 dan dilindungi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO sebagai perlindungan insurans. Sehingga 12 Julai 2023, TEKUN menyalurkan pembiayaan bernilai RM1.42 juta kepada 289 orang usahawan,” ujarnya.
Bagi tahun ini juga, geran bernilai RM453,245.00 diperuntukkan oleh SME Corp. di bawah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) bagi manfaat lebih daripada 155 usahawan di Sabah untuk membantu perusahaan mikro menaiktaraf serta meningkatkan produktiviti dan kecekapan mereka.
Manakala melalui SME Bank, pembiayaan bernilai lebih RM48 juta telah diluluskan kepada 56 orang usahawan PMKS di Sabah sehingga Jun 2023.
Dalam pada itu, Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail berkata, pihaknya akan terus mendukung usaha membangunkan program keusahawanan melalui saluran dan platform jenama Berita Yang Paling Dipercayai di Malaysia.
“Ini tanda sokongan kami kepada usahawan tempatan. Kita ada platform TV, digital dan kali ini kita bawakan sekali lagi acara fizikal. Kita tidak hanya menumpukan kawasan bandar sahaja.
“Kita bawakan jenama Astro AWANI ini ke setiap pelosok untuk menambahkan keyakinan usahawan berkaitan kandungan dan menyediakan platform promosi acara yang lebih komprehensif,” katanya lagi.
Beliau menambah, Astro AWANI berhasrat menjadikan jenama Jiwa SME yang lahir pada tahun 2019 sebagai sebuah jenama yang sinonim dalam martabatkan perjuangan PMKS selaku tulang belakang ekonomi negara selama ini.
Bertemakan Gelanggang Inspirasi Usahawan, Jiwa SME akan menyusuri lima lokasi di Malaysia, iaitu Sabah (Zon Borneo), Johor Bahru (Zon Selatan), Kelantan (Zon Pantai Timur), Pulau Pinang (Zon Utara), dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Zon Tengah).
#Jelajah Jiwa SME 2023 #Astro Awani #Pembangunan Keusahawanan #PMKS Sabah
;