Ekosistem ihsan perlu wujud bentuk masyarakat sejahtera - Prof Haslinda
Israr Khalid
Januari 19, 2023 07:30 MYT
Januari 19, 2023 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Konsep ihsan harus difahami oleh bukan sahaja para pemimpin, tetapi seluruh ahli masyarakat di negara ini kata Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Haslinda Abdullah.
Jelas beliau, apabila hidup berlandaskan ihsan, setiap orang akan bertindak dengan rasa tanggungjawab untuk mewujudkan suasana yang sejahtera.
Maksud ihsan, menurut Haslinda, bukan sahaja merujuk rasa belas, simpati dan kepekaan tetapi juga empati iaitu kebolehan memahami dan berkongsi perasaan dengan orang lain atau alam sekitar.
“Kalau kita ihsan, bagaimanakah tindakan kita? Adakah cukup dengan kita rasa kasihan, dan sebagainya? Kita perlu lakukan sesuatu.
“Untuk melakukan ini, satu ekosistem yang faham dan jelas serta berilmu itu perlu ada,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Beliau memberi contoh keadaan hari ini di mana ramai dalam kalangan masyarakat menghadapi isu masalah mental, di mana kajian menunjukkan, enam daripada 10 belia di negara ini mengalami kemurungan.
Justeru, tambah Haslinda, sekiranya semua pihak, khususnya para pemimpin, mempunyai rasa ihsan, maka mereka akan lebih memahami apa yang dilalui golongan yang berdepan masalah dan akan menggunakan segala kemampuan yang ada untuk menjadikan keadaan lebih baik.