Ekonomi tumbuh perlahan, 21 negara APEC perlu reformasi struktur
Harits Asyraf Hasnan
November 20, 2019 12:58 MYT
November 20, 2019 12:58 MYT
Reformasi struktural perlu dilakukan oleh kesemua 21 negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bagi mengatasi pertumbuhan ekonomi perlahan di rantau ini.
Pengarah Unit Sokongan Polisi APEC, Dr Denis Hew berkata, ketidaktentuan berterusan susulan ketegangan perdagangan yang meresahkan pelabur dan menjejaskan perbelanjaan pengguna di rantau ini mengakibatkan ekonomi APEC tumbuh sederhana separuh pertama 2019 pada kadar 3.6 peratus.
Memetik Laporan Analisis Trend Serantau APEC yang dikeluarkan hari ini, Denis menjelaskan, pada separuh pertama 2018 ekonomi kumpulan APEC berkembang kepada 4.3 peratus..
APEC mewakili 40 peratus populasi dunia dan 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.
"Kami mengunjurkan pertumbuhan sederhana bagi tahun 2019 dan 2020. Walaupun ia tidak menyebabkan kegawatan di rantau ini, namun pertumbuhan akan kekal perlahan.
"Seperti yang dikatakan, terdapat permasalahan yang sedang berlaku. Sama ada wujud resolusi terhadap ketegangan perdagangan oleh pentadbiran Donald Trump serta beberapa lagi kebimbangan yang mungkin berlaku.
"Seiring kita bergerak ke hadapan, unjuran kami nampaknya lebih pesimis dan ia meliputi seluruh rantau ini termasuk Asia Tenggara," katanya.
Beliau sebelum itu membentangkan Laporan Analisis Trend Serantau APEC Edisi November 2019 bertajuk ‘Pertumbuhan Perlahan, Cabaran Besar’ secara sidang atas talian bersama media antarabangsa dari Ibu Pejabat APEC berpangkalan di Singapura hari ini.
Antara penambahbaikan atau kepelbagaian sumber ekonomi yang dicadangkan adalah sektor perkhidmatan, peluang digital dan keterangkuman kewangan.
Jelasnya, pengembangan pelaburan dan pengaktifkan teknologi digital dapat meningkatkan keterangkuman kewangan ekonomi digital yang sekaligus membantu sesetengah negara mengakses pasaran lebih cepat.
Malah, perhatian juga perlu terarah kepada sektor perkhidmatan yang telah terbukti lebih berdaya tahan daripada perdagangan barangan pada tahun lepas.
"Termasuk di Malaysia...bagaimana kita beralih daripada menjual kasut atau produk di Facebook ke platform yang lebih besar. Bagaimana kita tingkatkannya, apa yang boleh dilakukan untuk perniagaan kecil dan sederhana bagi ditingkatkan ke platform yang lebih besar. Pelbagai cara boleh dilakukan.
“Antara lain yang dicadangkan kepada negara APEC dalam mempelbagaikan sumber termasuk memperkasa ekonomi wanita.
"Dari segi reformasi struktur, (negara) perlu cuba mencari apakah halangan yang amat penting dan menanganinya terutama melibatkan halangan perdagangan," jelasnya.
Memetik laporan itu, pengembangan ekonomi dijangka terus perlahan di rantau APEC sepanjang 2020 seiring prospek ekonomi global.
Malah, perbelanjaan isi rumah yang kekal menjadi sebagai pemacu utama pertumbuhan memperlihatkan perbelanjaan awam, pelaburan dan perdagangan kekal rendah sepanjang 2020.
#APEC
#Asia
#Dr Denis Hew
#ekonomi
#KDNK
#Laporan Analisis Trend Serantau APEC
#pelaburan
#Pengarah Unit Sokongan Polisi APEC
#pertumbuhan ekonomi