Ekonomi sedang tenat, GST perlu ditangguhkan - Ku Li

Astro Awani
Mac 17, 2015 14:20 MYT
Ekonomi sedang tenat, GST perlu ditangguhkan - Ku Li (gambar:fail)
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini mencadangkan supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditangguhkan memandangkan ekonomi dan kewangan awam berada di tahap yang tenat.
Berucap ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan gelaran Ku Li berkata, GST akan menjadi tambahan beban untuk rakyat yang kini sudah terlalu banyak dibebani hutang susulan kemerosotan ekonomi negara.
"Di atas perkiraan inilah saya cadangkan di dalam surat bertarikh 30hb Oktober, 2014 supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditangguhkan memandangkan ekonomi dan kewangan awam berada di tahap yang tenat.
"Rakyat juga menanggung beban hutang isi rumah yang tinggi. Oleh itu kita perlu tahu sebab musabab GST dikenakan kerana punca pendapatan ini akan menambah beban kewangan rakyat.
"Rakyat berhak tahu sama ada GST yang akan dilaksanakan pada bulan April hadapan ini akan menguntungkan negara atau ia hanya untuk membayar faedah kepada si pemiutang dan pemegang bon, tujuan GST dilaksanakan tidak seharusnya dirahsiakan," katanya.
Bekas presiden parti Semangat 46 itu berkata, kerajaan bertindak tidak adil jika menyalurkan bebanan hutang kepada rakyat tanpa sebarang sebab munasabah.
"Jikalau beban tambahan ini dihalakan kepada rakyat tanpa alasan munasabah kita sebenarnya berlaku tidak adil.
"Oleh itu suara hati kita semestinya jelas dan terang ketika memberi keterangan kepada rakyat kenapa GST perlu pada ketika ini," katanya lagi.
Ahli Parlimen paling lama berkhidmat itu juga melahirkan kebimbangannya yerhadap penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk membantu institusi kewangan yang terlibat dalam pemberian pinjaman kepada perbadanan-perbadanan tertentu.
"Dalam hal ini, kita perlu penjelasan daripada Menteri Kewangan mengenai kedudukan KWSP dan KWAP serta jumlah pelaburan dana di dalam institusi kewangan yang dibebankan dengan pemberian pinjaman," katanya.
"Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sekali-kali tidak harus berada dalam keadaan di mana terdapatnya pertelingkahan kepentingan," jelas beliau.
#Dewan Rakyat #GST #Tengku Razaleigh Hamzah
;