Ekonomi Sarawak diyakini akan terus berkembang pasca Taib Mahmud
Shafizan Johari
Februari 11, 2014 07:30 MYT
Februari 11, 2014 07:30 MYT
Penganti Tan Sri Taib Mahmud berdepan cabaran dalam memenuhi harapan tinggi untuk menyaksikan ekonomi Sarawak terus berkembang pesat pasca pengunduran beliau.
Pada masa sama, kalangan pemerhati yang ditemui Astro AWANI yakin ekonomi Negeri Kenyalang akan terus berkembang pesat tanpa pengira sesiapa pun yang dipilih Abdul Taib, memandangkan Ketua Menteri itu sudah menyediakan asas kukuh untuk ekonomi Sarawak.
Perkara itu turut dipersetuji Pengerusi Malaysia Global Business Forum Nordin Abdullah yang berpendapat sasaran pelaburan bernilai lebih RM334 bilion dalam tempoh 30 tahun melalui Projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) boleh dicapai.
"Saya percaya Sarawak akan terus menjadi kuasa ekonomi. Malah kerajaan negeri yang ditadbir (Tan Sri) Abdul Taib sudah menyediakan asas yang kukuh bagi memastikan ketua kerajaan negeri yang seterusnya boleh meneruskan kejayaan ekonomi negeri ini", jelas Nordin.
Nordin juga memetik antara kejayaan utama Abdul Taib ialah mengurangkan kadar kemiskinan negeri sepanjang 33 tahun pemerintahannya.
Ini kerana kadar kemiskinan Sarawak dapat dikurangkan dengan drastik sehingga kurang 5 peratus ketika ini berbanding 40 peratus lebih peratus 30 tahun lalu.
"Ini sesuatu yang tidak boleh ditandingi (oleh pemimpin lain). Jadi kini menjadi tangungjawab ketua menteri seterusnya untuk meneruskan usaha mengurangkan kadar kemiskinan." jelas Nordin.
"Tetapi masalahnya peratusan terakhir (paras kemiskinan) adalah yang paling sukar (untuk dibasmi).
Sarawak adalah negeri terbesar di Malaysia dengan keluasan lebih 124,000 kilometer persegi.
Taburan penduduknya seramai 2.47 juta orang dengan pendapatan per kapita lebih RM42,000 berbanding RM4,000 pada 1981.
Negeri itu juga mensasarkan indikator ini meningkat kepada RM45,000 menjelang 2020.