Ekonomi Sarawak dijangka berkembang 6.0 peratus tahun 2022 - Uggah
Nuzuluddin Abdul Razak
Mei 26, 2022 16:31 MYT
Mei 26, 2022 16:31 MYT
KUCHING: Ekonomi Sarawak dijangka berkembang antara 5.0 ke 6.0 peratus pada tahun 2022 susulan peningkatan 26.6 peratus atau RM100.26 bilion jumlah perdagangan negeri pada tahun 2021.
Malah Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut menjangkakan ekonomi negeri itu akan terus pulih hasil pembukaan semula sempadan negara, aktiviti domestik dan sektor dalaman yang dinaik taraf tahun ini.
“Nilai dagangan eksport berkembang dengan 29.9 peratus hasil eksport dagangan produk minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dan beberapa produk berkaitan termasuk produk petroleum dan minyak mentah kelapa sawit.
“Manakala nilai import meningkat kepada 20.6 peratus tahun 2021 yang mana import mesin dan peralatan pengangkutan meningkat 11.2 peratus juga kesan daripada aktiviti pembinaan yang menggalakkan di Sarawak setakat ini,” katanya semasa sesi penggulungan di DUN Sarawak pada Khamis.
Tambah Uggah, Sarawak juga mencatatkan kadar inflasi pada 1.9 peratus untuk suku pertama tahun 2022 meningkat 0.01 peratus dengan sektor makanan dan minuman bukan alkohol sebagai penyumbang utama inflasi selain peningkatan harga minyak dunia akibat konflik antara Ukraine dan Rusia.
Dalam tempoh yang sama, Sarawak telah menjana pendapatan berjumlah RM3.11 bilion bersamaan 31 peratus daripada RM10.04 bilion jangkaan pendapatan negeri untuk tahun 2022.
“Pendapatan ini antaranya hasil cukai jualan negeri (SST) RM1.25 bilion, pampasan tunai hak minyak dan gas RM876 juta, dividen RM634 juta dan royalti air mentah sebanyak RM109 juta.
“Sehingga suku pertama tahun ini, kerajaan negeri telah membelanjakan RM1.63 bilion bersamaan 22 peratus belanjawan pembangunan yang diluluskan.
“Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sejumlah 1,093 projek di bawah peruntukan kerajaan negeri dengan kos siling RM30 bilion telah diluluskan merangkumi 67 peratus projek fizikal selebihnya projek bukan fizikal seperti geran dan pelaburan,” katanya.