Ekonomi Sarawak baik bukan kerana nasib tapi usaha gigih - Abang Johari
Bernama
Mei 30, 2024 10:00 MYT
Mei 30, 2024 10:00 MYT
KUCHING: Kedudukan ekonomi Sarawak yang baik ketika ini bukan disebabkan nasib tetapi hasil kegigihan usaha gandingan pemimpin dan rakyatnya, menurut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata hasil usaha gigih kepimpinan dan perpaduan rakyat di Sarawak membolehkan negeri itu mencatatkan peningkatan nilai eksport RM2.1 bilion yang meletakkan negeri itu kedua tertinggi selepas Selangor yang merekodkan RM3 bilion.
Katanya berdasarkan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri April 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, Sarawak menjadi antara lima negeri teratas dari segi peningkatan nilai eksport.
"Dahulu kita berada jauh di belakang, hari ini yang kedua dengan RM2.1 bilion nilai eksport, ketiganya baru Pulau Pinang, keempat Kuala Lumpur dan kelima Perak," katanya ketika berucap pada majlis Belanggar Meja (kenduri besar) di Subis, Miri di utara Sarawak malam tadi.
Abang Johari berkata Sarawak masih mampu memperbaiki kedudukan ekonomi untuk mengatasi negeri lain jika rakyat dan pemimpinnya terus bersama-sama bertekad menjaga perpaduan.
"Kalau kita jaga perpaduan, kestabilan kita kuat, ekonomi kita kukuh dan kita mengurus secara berhemah ekonomi kita, insya-Allah mungkin kita yang teratas. Apa yang perlu kita tingkatkan, mesti kerja kuat dan tidak bergantung kepada nasib," katanya.
Beliau berkata dalam mencapai kejayaan ini, Sarawak tidak pernah merampas hak orang lain dan hanya melaksanakan dasar berteraskan haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya penglibatan syarikat milik kerajaan negeri Petroleum Sarawak Sdn Bhd (Petros) dalam industri minyak dan gas negeri itu adalah atas haknya yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
-- BERNAMA