Ekonomi: PM umum visa percuma kepada pelancong China
Haider Yutim
Januari 20, 2015 13:50 MYT
Januari 20, 2015 13:50 MYT
Kerajaan hari ini telah mengumumkan pemberian visa secara percuma kepada para pelancong termasuk dari negara China bagi mempergiatkan industri pelancongan negara.
Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan perutusan khas tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan ekonomi negara pagi ini.
Katanya, ini merupakan salah satu daripada enam langkah bagi merancakkan eksport barangan dan perkhidmatan serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang, inklusif dan mampan.
"Mempromosi secara aktif perkhidmatan gantian-import seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan, pendidikan dan profesional.
"Ini, bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar bagi perolehan barangan dan perkhidmatan," kata Najib dalam ucapannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.
Katanya lagi, kerajaan juga akan menyegerakan pelaksanaan cadangan daripada Majlis Eksport Negara dalam usaha membantu para pengeksport mendapat prospek pelanggan baharu di pasaran yang baharu.
Selain itu, kerajaan akan mempergiat program promosi eksport di 46 negara meliputi Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat dan memperkenalkan SME-Go melalui SME Bank, sebuah program eksport untuk PKS, dan memanfaatkan Dana Perkhidmatan Eksport serta program promosi PKS untuk meningkatkan kemampanan eksport ke luar negara.
Kata Najib, bagi mempercepatkan pelaksanaan Logistik dan Fasilitasi Dagangan, kerajaan akan menambah baik perhubungan ke Pelabuhan Klang seperti jalan masuk, jaringan landasan dan sistem pengurusan trafik.
"Menaik taraf terminal keretapi Padang Besar, menambah baik kecekapan operasi proses import dan eksport, serta menubuhkan sistem hab dan jaringan perhubungan udara.
"Keempat, mempergiatkan keseluruhan industri pelancongan negara. Kelima, mengambil langkah-langkah untuk mengkaji semula kadar levi yang dikenakan ke atas pekerja-pekerja asing," kata beliau lagi.
Sementara itu, menurut laporan Bernama, penawaran visa percuma (VFF) kepada pelancong antaranya dari China yang diumumkan Najib sebentar tadi, boleh dilaksanakan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi keputusan mengenai tarikh pelaksanaan langkah itu akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet esok.
"Visa tidak akan dikenakan bayaran kepada beberapa segmen pasaran kerana berlaku penurunan kedatangan pelancong terutama dari negara China.
"Bagaimanapun, harus diingat visa tetap akan dikenakan untuk menjaga hal ehwal keselamatan kerana dalam kita menggamit pelancong ke Malaysia kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan," katanya seperti dipetik dalam Bernama.
Konsep VFF pernah dicadangkan Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada November lalu dalam usaha mencapai sasaran 29.4 juta pelancong pada 2015.
Kata Nazri beberapa negara ASEAN seperti Thailand dan Indonesia telahpun melaksanakan konsep tersebut di mana ianya mampu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negara-negara itu.