Ekonomi penjagaan berpotensi hasil pendapatan baharu untuk negeri - Saarani

Bernama
Oktober 5, 2024 20:36 MYT
Saarani berkata perkhidmatan anestasia dan rawatan kritikal merupakan bidang yang memerlukan keterangkuman kepakaran ilmu akademik dan kemahiran yang tinggi. - Gambar fail/Sinar Harian
IPOH: Kerajaan Perak melihat potensi ekonomi penjagaan sebagai satu daripada pendapatan baharu yang berdaya maju untuk negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Saarani berkata ia bersandarkan kepada Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pemerkasaan modal insan dan pembelajaran sepanjang hayat yang amat kritikal antaranya dengan memastikan kemahiran dan kecekapan pengamal perubatan adalah relevan, mutakhir serta responsif kepada krisis kesihatan domestik dan global.
"Bagaimanapun, cabaran dalam memberikan perkhidmatan termasuk anestesiologi kepada pesakit berubah dengan pantas seiring dengan masa," katanya pada majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Anestasia dan Penjagaan Kritikal untuk Jururawat dan Penolong Pegawai Perubatan Ke-3 2024 anjuran Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Kritikal Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri A. Sivanesan.
Dalam pada itu, Saarani berkata perkhidmatan anestasia dan rawatan kritikal merupakan bidang yang memerlukan keterangkuman kepakaran ilmu akademik dan kemahiran yang tinggi.
Beliau berkata dengan pencapaian taraf tersebut standard dan kualiti latihan yang ditawarkan Kementerian Kesihatan (KKM) telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Selain itu, beliau berkata usaha meningkatkan standard kualiti perkhidmatan juga dipikul bersama oleh Lembaga Jururawat Malaysia dan Cawangan Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan melalui penerbitan Garis Panduan Amalan Standard bagi menyelaras kualiti semasa memberi perkhidmatan dalam perawatan pesakit.
"Saya amat berbangga dengan perubahan iklim profesionalisme kejururawatan dan penolong pegawai perubatan ketika ini terutama dalam bidang anestesiologi dan rawatan kritikal.
"Daripada sekadar melakukan penjagaan pesakit yang ringkas, ketika ini mereka mengorak langkah dengan memberi penjagaan dan perawatan berlandaskan amalan berasaskan bukti dan garis panduan amalan standard sejajar dengan permintaan perkhidmatan yang mementingkan kualiti dan kecekapan.
"Selain itu, jururawat dan penolong pegawai perubatan juga perlu beradaptasi untuk menggunakan peranti perubatan berteknologi tinggi," katanya.
-- BERNAMA
#KKM #rawatan kritikal #garis panduan #pendapatan baharu
;