Ekonomi negara boleh runtuh jika PKP penuh dilaksanakan sekali lagi - PM
Astro Awani
Mei 23, 2021 22:00 MYT
Mei 23, 2021 22:00 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui secara peribadi beliau berpendapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh seperti pernah dilaksanakan tahun lalu adalah cara terbaik mengekang penularan COVID-19.
Malah beliau menjelaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) juga bersetuju sekiranya pelaksanaan PKP penuh dilaksanakan sekali lagi.
Namun katanya, pertimbangan amat mendalam mengenai kehidupan rakyat perlu diambil kira dalam memutuskan pelaksanaan PKP bagi memastikan masyarakat tidak terkesan teruk dengan langkah-langkah yang diambil kerajaan.
Katanya, disebabkan itu, kerajaan memutuskan untuk tidak melaksanakan ‘total lockdown’ seperti PKP 1.0 ketika ini kerana ia akan menjejaskan kehidupan rakyat dan menyebabkan lebih ramai yang hilang pekerjaan selain ketidakupayaan untuk bangkit bagi memulihkan kehidupan dan ekonomi.
“Memang kalau ikutkan saya, KKM kata memang itu yang terbaik Tan Sri...tapi kesan kepada negara, kalau rakyat tak bekerja, ekonomi dah runtuh nak bangunkan semula (seperti PKP 1.0), saya (kerajaan) terpaksa belanja RM340 bilion dengan enam pakej rangsangan.
“Itu bukanlah jumlah yang sedikit, tak pernah berlaku dalam negara. 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kita gunakan untuk menolong rakyat. Ini yang rakyat harus faham. Kalau buat begitu (tutup semua sektor ekonomi) kita akan hadapi masalah yang lebih besar, nanti negara tak boleh nak bangkit," katanya dalam program Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 Eksklusif Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama TV malam ini.
Perdana Menteri menjelaskan, penutupan semua sektor ekonomi semasa PKP 1.0 pada 18 Mac sehingga 3 Mei 2020 bagi mengekang penularan COVID-19 bukan sahaja menyebabkan negara kerugian kira-kira RM2.4 bilion setiap hari, tetapi ramai rakyat kehilangan pekerjaan selain peniaga kecil turut terjejas teruk.
Beliau berkata, jika kerajaan 'membawa semula' PKP 1.0, negara berkemungkinan memerlukan sehingga RM500,000,000,000 atau setengah trilion ringgit bagi membantu rakyat dan merangsang semula ekonomi negara.
"Boleh tutup (semua sektor ekonomi), tapi bila buka balik nanti mungkin sistem itu dah runtuh kerana kita kena buka semula i-Sinar, beri bantuan Prihatin, moratorium dan lain-lain, mampukah kerajaan tanggung lagi? boleh tapi tak sebanyak mana.
"Saya tak nak lihat rakyat saya terkorban hanya kerana kelekaan saya atau mereka. Saya juga tidak mahu ekonomi kita runtuh," katanya dan menambah disebabkan itu kerajaan membuat keputusan untuk memperketatkan SOP PKP 3.0 seperti diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha untuk melandaikan lekuk COVID-19 merupakan tanggungjawab setiap lapisan masyarakat dengan berkata: "Terima hakikat ini masalah bersama, approach kita bukan whole of government, it is whole of society".
Enam pakej rangsangan yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini adalah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) melibatkan peruntukan RM250 bilion pada Mac 2020 dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN Tambahan) sebanyak RM10 bilion pada April 2020.
Pada Jun tahun sama, kerajaan mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) melibatkan perbelanjaan sebanyak RM35 bilion, selain Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (KITA Prihatin) dengan peruntukan RM10 bilion pada September lepas.
Pada Januari tahun ini, kerajaan mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion serta Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dengan peruntukan RM20 bilion pada Mac lalu.
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#PKP Penuh
#total lockdown
#self lockdown
#PKP kendiri
#COVID-19
#ekonomi runtuh
#bantuan