Ekonomi Madani: Kerajaan tumpu usaha tambah baik SSL, tingkat keterjaminan makanan - PM Anwar

Bernama
Julai 27, 2023 12:45 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha untuk menambah baik Tahap Sara Diri (SSL) serta meningkatkan keterjaminan makanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ia termasuk menambah keluasan tanaman tetapi mengoptimum penggunaan tanah perladangan sedia ada.
"(selain itu), meningkatkan daya tahan sektor agromakanan melalui aplikasi teknologi pertanian bagi meningkatkan produktiviti untuk manfaat petani kecil.
"Ini termasuklah pendekatan pertanian regeneratif, tanaman berdaya tahan iklim serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI)," kata Anwar pada majlis peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat di sini hari ini.
Bagi menyediakan sokongan kepada industri makanan tempatan untuk meningkatkan pengeluaran, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sejumlah RM200 juta disediakan di bawah Agrobank untuk membantu menyediakan kemudahan pembiayaan khususnya bagi aplikasi teknologi moden pertanian.
Selain itu, beliau berkata kerajaan telah mengumumkan komitmen menambah baik infrastruktur pengairan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi kepada lima musim dalam tempoh dua tahun melibatkan prasarana bernilai RM3 bilion.
"Malaysia kaya dengan khazanah alam dan mempunyai hutan tertua di dunia. Sektor perladangan dan industri hiliran merupakan sumber penting ekonomi namun kita perlu menilai semula pendekatan kita terhadap penggunaan tanah.
"Setakat ini, sejumlah 5.7 juta hektar tanah digunakan bagi tanaman kelapa sawit dan hampir dua juta hektar lagi bagi tanaman getah," kata Anwar.
Bagi tujuan itu, beliau berkata antara ikhtiarnya adalah untuk mencipta aset biodiversiti dalam pasaran perdagangan karbon melalui usaha pemuliharaan dan penghutanan semula.
Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun antaranya Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia, Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia serta peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jemaah menteri dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
-- BERNAMA
#ekonomi madani #Anwar Ibrahim #Tahap Sara Diri #keterjaminan makanan
;