Ekonomi Hijau: Negara ASEAN perlu saling bekerjasama, bantu negara lain yang kekurangan

Ridauddin Daud
Disember 7, 2023 22:40 MYT
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, masih ada negara di ASEAN, termasuk Malaysia yang memerlukan sokongan dan bantuan dari negara lain.
DUBAI: ASEAN memerlukan satu pendekatan baharu yang memberi tumpuan untuk membantu negara kurang berkemampuan untuk sama-sama mengadaptasi kepada ekonomi hijau.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, masih ada negara di ASEAN, termasuk Malaysia yang memerlukan sokongan dan bantuan dari negara lain.
Menurutnya, terdapat jurang antara negara di rantau ini dan seharusnya negara yang sudah ke depan, membantu negara yang masih mencari cara terbaik untuk mempraktikkan ekonomi hijau.
“Ada beberapa isu, misalnya di Malaysia, kekangan kita apa? Kekangang kita, tarif elektrik paling rendah dalam kalangan negara ASEAN.
“Kalau Filipina, kos itu sangat tinggi, itu memboleehkan mereka menggunakan bateri. Vietnam, tenaga solar mereka banyak tapi mereka ada kekangan dari segi grid.
“Ini antara perkara yang perlu kita kerjasama antara satu sama lain supaya ada satu pendekatan ASEAN.
“Kita ada contoh sebelum ini, tentang soal jerebu…tapi itu pun kita tahu ada limitasi kerana ada dasar. Itu kita perlu lihat semula dalam konteks 2023 ini,” katanya.
Tambah Nik Nazmi, Malaysia turut menyuarakan pendirian negara dalam Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP28) bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) yang berlangsung di Dubai.
Tegasnya, Malaysia menegaskan negara maju tidak boleh cuci tangan sebaliknya bertolak ansur dalam membantu negara lain untuk sama-sama mengamalkan ekonomi hijau.
Bagi mendapatkan kupasan penuh Nik Nazmi berkaitan COP28, saksikan Agenda AWANI yang bersiaran pada malam ini, jam 8.30 malam, eksklusif di Astro AWANI.
#Agenda Awani #ASEAN #Nik Nazmi #ekonomi hijau
;