Ekonomi gig perlu dipandang serius, bukan lagi kerja sementara - Madeline Berma
Israr Khalid
Februari 21, 2023 12:35 MYT
Februari 21, 2023 12:35 MYT
KUALA LUMPUR: Ekonomi gig khususnya ‘e-hailing’ tidak boleh lagi dilihat sebagai kerja sementara, sebaliknya, wajar dibentuk menjadi satu pekerjaan yang menjamin karier profesional berjangka panjang.
Kata Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Madeline Berma, apabila ia dipandang serius oleh masyarakat, maka dasar yang lebih serius dapat dibuat berkenaan bidang pekerjaan itu.
Sebagai permulaan, kata beliau, keseriusan kerajaan dalam hal ini wajar diterjemahkan dalam bentuk pemberian insentif yang sesuai serta perlindungan sosial kepada para pekerja industri gig.
“Mereka juga menyumbang kepada pembangunan negara, secara langsung atau tidak langsung tapi orang hanya melihat mereka hanya sebagai sesuatu yang berjangka pendek.
“Bila ia dilihat sebagai pekerjaan jangka pendek atau tempelan saja seolah-olahnya, maka dasar yang ada itu tidak begitu memberi penekanan,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Tegas beliau, dengan adanya insentif dan perlindungan yang baik umpamanya, maka ramai yang akan ceburkan diri dan melihat ia sebagai satu kerjaya yang mereka boleh rancang dengan baik.