Ekonomi gig mula dapat perhatian, rakyat terima kehidupan normal baharu

Nursyazwani Saiful Sham
Jun 29, 2020 20:13 MYT
Sejak pelaksanaan PKP di negara ini, orang ramai mula beralih arah kepada pembelian dalam talian. -Gambar hiasan
Situasi orang ramai belum bersedia untuk melakukan aktiviti harian seperti biasa disebabkan ancaman virus COVID-19 belum berakhir, membuka ruang sektor ekonomi gig berkembang di negara ini.
Pengerusi Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malek, berkata banyak peluang pekerjaan dalam sektor itu muncul sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila orang ramai mula beralih kepada pembelian dalam talian.
"Industri gig ini telah membuka peluang pekerjaan yang begitu banyak kerana kita lihat pada hari ini, kaedah pesanan yang dilakukan dari rumah meningkat.
"Bukan sahaja peniaga kecil, malah syarikat terkemuka juga menerima impak yang sama.
"Jadi, peluang pekerjaan seperti penghantar makanan dalam sektor ini turut berkembang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasil kajian yang dibuat oleh firma kepenggunaan, Dattel Asia yang mendapati kesediaan rakyat Malaysia dalam melakukan aktiviti harian masih rendah.
Kajian melibatkan 1,200 responden itu menunjukkan rakyat negara ini masih berhati-hati sebelum merancang atau melakukan sebarang aktiviti.
BACA: PKPP: Rakyat Malaysia yang suka 'stream video' rupanya suka makan di luar
Jelas Nordin, rakyat di negara ini sudah mula menerima kehidupan normal baharu yang berasaskan dalam talian sama ada di bandar mahupun di luar bandar.
"Rakyat di negara kita ini sudah menerima cara hidup yang berasaskan teknologi. Kita sudah mula melihat perniagaan secara dalam talian sudah menjadi trend.
"Malah usahawan kecil dan sederhana di luar bandar juga sudah mula melakukan perniagaan secara dalam talian dengan aktif dan agresif.
"Hasil perniagaan dalam talian ini juga menghasilkan pendapatan yang lumayan buat mereka berbanding sebelum ini," jelasnya.
Justeru, bagi memastikan rakyat negara ini untuk lebih bersedia dalam kehidupan normal baharu, Nordin menggesa kerajaan untuk meningkatkan akses Internet terutamanya di luar bandar.
Bagi para usahawan pula, Nordin menasihatkan agar golongan ini mula menguasai urusan logistik selain meningkatkan kemahiran teknologi bagi mencapai kepuasan maksimum dalam sektor itu.
BACA: Ekonomi gig mampu jadi sektor pekerjaan stabil, jangka panjang
#aktiviti harian #COVID-19 #Dattel Asian #ekonomi gig #sektor pekerjaan
;