Ekonomi bumiputera merudum
Astro Awani
Januari 8, 2013 07:01 MYT
Januari 8, 2013 07:01 MYT
Ekonomi bumiputera merudum jika Pakatan Rakyat mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-13.
Bagaimana tidak, mereka akan meranap hasrat untuk mewujudkan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera yang sudah di peringkat akhir perbincangan.
Itu pandangan Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.
Menurut Abdul Rahim, selain mengurangkan pelaburan, ia bakal menyebabkan keharmonian politik terjejas.
Ujarnya, situasi itu bakal menghapus usaha kerajaan untuk melihat kesaksamaan pengagihan kekayaan negara kepada berbilang kaum sejak berpuluh tahun.
Justeru, katanya, rakyat perlu menilai kegagalan mengurus ekonomi negeri Pakatan Rakyat sebagai ketidakupayaan mereka mentadbir negara.
Selain itu, sikap penting diri pemimpin Pakatan Rakyat harus diambil kira sebagai faktor kejatuhan ekonomi negara jika mereka memerintah.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu (Perdasama) Muda Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, penentangan Pakatan Rakyat kepada semua projek berskala besar bakal merugikan negara.
Rakyat katanya harus melihat kemajuan negara selama ini secara keseluruhan dan tidak terpengaruh dengan persepsi negatif yang disebar Pakatan Rakyat selama ini.