eKelas: Pengalaman pembelajaran jadi lebih interaktif, seronok

Ehsan A Marisah
Julai 26, 2022 12:00 MYT
Maxis terus mengorak langkah ke hadapan dengan menyediakan pengalaman pembelajaran terbaik untuk semua golongan pelajar di negara ini. - Foto Maxis
KECANGGIHAN teknologi hari ini memberikan impak yang signifikan kepada sektor pendidikan negara.
Buktinya, segala proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang terpaksa dilakukan secara dalam talian dapat terus berjalan meskipun ketika pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia.
Bukan itu sahaja, teknologi juga berperanan besar dalam meningkatkan anjakan minda, kemahiran dan infrastruktur warga pendidik dan pelajar.
Justeru, menyedari kepesatan landskap digital kini, syarikat telekomunikasi, Maxis terus mengorak langkah ke hadapan dengan menyediakan pengalaman pembelajaran terbaik untuk semua golongan pelajar di negara ini.
eKelas jadi ruang lahir pelajar pemikiran kritis, kreatif
Inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah ini menawarkan cara belajar menyeronokkan melalui penyediaan akses percuma kepada kandungan pendidikan berkualiti selaras dengan Sukatan Pelajaran Malaysia serta aktiviti pembelajaran yang menarik.
Ia menyediakan lebih daripada 3,000 kandungan pembelajaran bagi mata pelajaran teras seperti Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains untuk pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 5.
Bermula tahun ini, eKelas juga menawarkan sokongan untuk subjek Bahasa Melayu dan Sejarah untuk pelajar tingkatan empat dan lima.
Melalui hab digital ini, ia membolehkan pelajar dan guru mengakses kandungan digital di portal eKelas atau versi aplikasi dengan fleksibel di samping menggalakkan ibu bapa memerhati serta mengikuti perkembangan aktiviti eKelas anak-anak untuk pembelajaran di mana jua.
Portal eKelas mempunyai lebih daripada 3,000 nota dan lembaran kerja video bersaiz gigitan, video seminar, serta 10,000+ eBook dan 500 buku audio melalui kerjasama dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Ia termasuk video ulang kaji pembelajaran, nota peperiksaan, bahan bacaan dan sesi bimbingan secara langsung bersama guru-guru berpengalaman serta pengurus komuniti, Abang Portal.
Pelajar juga boleh menyertai pertandingan Sains, teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi mengukuhkan ilmu pengekodan, kemahiran berfikir kreatif dan mereka bentuk dan pertandingan Bahasa Inggeris eKelas HIP StoryFest untuk mengasah kemahiran bertutur dan menulis esei.
Manakala bagi pelajar yang mencapai peningkatan di dalam peperiksaan mereka dan memenuhi kriteria yang ditetapkan, mereka berpeluang untuk memohon Anugerah Gemilang.
Kuasai Bahasa Inggeris dengan mudah
Maxis menerusi inisiatif Highly Immersive Programme (HIP) terus komited menggalakkan pelajar mempelajari, mempraktikkan dan mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris.
Pelajar akan diberi bimbingan dan perkongsian teknik menulis esei serta tips untuk membangunkan keyakinan untuk bercakap di dalam bahasa Inggeris.
Selain itu, pelajar juga boleh belajar dan mengulang kaji melalui video bersaiz gigitan dan bengkel secara langsung bersama pakar serta guru berpengalaman.
Justeru, mulai 30 Mei hingga 31 Ogos ini, Maxis telah bekerjasama dengan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membawa pertandingan eKelas HIP StoryFest untuk kali keempat yang melibatkan empat jenis aktiviti utama, iaitu bercerita, sajak, pengucapan awam dan penulisan karangan.
Pelajar akan diberi bimbingan untuk menulis, bercerita dan bersajak dalam bahasa Inggeris oleh KL Shakespeare Players dan GuruLab di sepanjang pertandingan ini.
Ia turut mencungkil bakat-bakat di sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh Malaysia dan menawarkan hadiah menarik.
Pertandingan ini juga membolehkan pelajar untuk mengikuti bengkel bercerita dan menulis selain menerima sijil untuk pengisian markah kokurikulum.
Apa kata mereka?
Pelajar SMK Bukit Assek di Sibu, Sarawak, Dayangku Siti Nur Khairunnisa Awang Hamdany berkata, portal eKelas menyediakan bahan mengajar yang sangat membantu melancarkan proses pembelajarannya.
“eKelas memudahkan pembelajaran saya kerana pada masa lapang saya akan jawab kuiz-kuiz daripada abang portal.
“Selain itu, nota-nota yang diberikan amat mudah untuk difahami. Selain itu eKelas sememangnya menarik minat saya untuk belajar,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pelajar di SMK (A) Dato’ Ismail, Kelantan, Hamizan Mazlan berkongsi, eKelas sangat membantunya dalam pelajaran, lebih-lebih lagi dia yang bersekolah di sebuah kawasan luar bandar.
“Dalam portal eKelas ini terdapat banyak nota dan video pembelajaran mengikut subjek seperti English, Matematik dan Sains. Ianya diajar oleh guru-guru yang sangat berpengalaman. eKelas juga dapat mengurangkan kos dan masa saya untuk membeli buku nota.
“Video dan nota yang ada dalam portal eKelas ini dapat ditonton pada bila-bila masa dan di mana-mana jua kita berada. Selain daripada nota dan video, ekelas juga mewujudkan program pembelajaran HIP English, kuiz daripada abang portal, tutorial secara langsung dan banyak lagi program yang menarik,” ujarnya.
Sementara itu, guru di SMK Bukit Gading, Sungai Buloh, Selangor, Tricia Lim Chuk Pin pula berpendapat pertandingan HIP StoryFest mampu menyerlahkan bakat pelajarnya, malah membentuk individu yang berdedikasi.
“Pertandingan HIP StoryFest memang hebat. Dengan eKelas, pelajar saya bukan sahaja dapat mencungkil bakat mereka, malah dua daripada mereka berjaya memenangi pertandingan ini.
“Mereka melakukan tugasan itu sendiri dan saya amat berbangga dengan pencapaian mereka kerana mereka mengikut garis panduan, belajar daripada modul, video dan tip yang diberikan dalam pertandingan tersebut,” jelasnya.
Jelas sekali, inisiatif dijayakan Maxis ini memberikan peluang kepada semua golongan pelajar merasai pengalaman pembelajaran digital yang lebih interaktif dan menarik.
Kini, aplikasi eKelas sudah boleh dimuat turun secara percuma di Apple Store dan Google Play Store.
Untuk maklumat lanjut mengenai eKelas, orang ramai boleh melayari www.ekelas.com.my.
Maxis eKelas | Kuasai Bahasa Inggeris dengan lebih pantas!
*Artikel ini adalah kandungan berbayar.
#Maxis #eKelas #pengajaran dan pembelajaran #bahasa Inggeris #STEM
;