Ejen sindiket seludup migran ditahan cuba sogok polis RM50,000
Umavathi Ramayah
Disember 9, 2024 19:16 MYT
Disember 9, 2024 19:16 MYT
KUALA LUMPUR: Cubaan seorang ejen sindiket penyeludupan manusia yang membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kota Bharu, Kelantan menyogok pegawai polis dengan wang tunai RM50,000 bagi membebaskan diri serta tiga lagi rakan tekong, menjerat diri sendiri.
Tawaran itu bukan sahaja ditolak malah suspek turut disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam Op Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan pasukan Briged Tenggara dan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabtu lalu, pasukan operasi mengesan tiga buah kenderaan yang berada dalam keadaan mencurigakan di tepi semak di Jalan Sri Cemerlang, Kelantan.
Hasil pemeriksaan katanya, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 27 dan 32 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tekong.
Katanya, turut ditahan 16 PATI dipercayai warga Myanmar termasuk seorang kanak-kanak.
"Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang ejen sindiket itu berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kelantan.
"Namun ketika dalam perjalanan ke balai polis, suspek merayu agar dilepaskan dan cuba menyogok RM50,000 kepada pegawai tersebut.
"Apabila tawaran itu ditolak, suspek sekali lagi mencuba nasib yang menyebabkan pegawai tersebut melaporkan kejadian itu kepada SPRM," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Isnin.
Menurut Razarudin, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Tambahnya, selain itu, polis turut menyita kereta, telefon bimbit suspek dan wang tunai RM50,000.
"Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.