Ejen percukaian jangan salah tafsir isu cukai - Johari

Wan Syamsul Amly
November 2, 2017 12:56 MYT
Ejen percukaian diminta memahami dengan teliti isu cukai dan segera merujuk kepada LHDN untuk kepastian mengenai hal berkenaan.
Ejen percukaian diminta memahami dengan teliti isu cukai dan segera merujuk kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk kepastian mengenai hal berkenaan termasuk peraturan serta undang-undang baharu yang ditetapkan agensi itu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, mereka juga perlu memberi penerangan jelas isu cukai selain tidak menafsir undang-undang mengenai isu berkenaan tanpa perbincangan dengan LHDN.
"Apa yang berlalu selepas lima atau enam tahun mereka membayar cukai berdasarkan tafsiran mereka akhirnya apabila LHDN membuat audit, agensi itu mendapati bahawa tafsiran yang dibuat salah hingga berlaku backdated tax.
"Bila ada backdated tax, syarikat ini akan menanggung cukai tertunggak yang besar. Apabila mereka merujuk dengan agensi cukai dan mendapat nasihat tafsiran undang-undang itu yang terlalu subjektif," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2017 di sini hari ini.
Seminar yang bermula hari ini sehingga 16 November diadakan di 24 lokasi seluruh negara bertujuan memberi pemahaman lebih jelas berkaitan cadangan pindaan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 serta akta-akta berkaitan yang dibentangkan melalui Bajet 2018.
Topik yang akan dibincangkan sepanjang seminar ini berlangsung adalah Cadangan-Cadangan Bajet 2018 (2018 Budget Proposals) dan Hala Tuju Pematuhan Cukai (Tax Compliance: The Way Forward).
Dalam pada itu kata Johari, bayaran cukai bukan satu bentuk hukuman dan membebankan sebaliknya peluang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara.
Ujarnya, bayaran cukai adalah platform rakyat menyumbang secara kolektif sebahagian kecil daripada pendapatan untuk dimanfaatkan demi kesejahteraan awam.
"Kita harus berusaha untuk memperkukuh budaya pematuhan cukai dalam kalangan masyarakat.
"Apabila wujud kesedaran yang tinggi akan kepentingan pematuhan cukai, kelak isu-isu seperti amalan mengelak daripada membayar cukai, pemfailan butiran maklumat yang tidak tepat serta amalan 'aggresive tax planning' dapat diselesaikan," katanya.
Kira-kira 2.3 juta pembayar cukai menerima khabar gembira menerusi Bajet 2018 apabila kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan.
Pengurangan cukai itu akan dinikmati oleh golongan pendapatan pertengahan (M40) atau isi rumah berpendapatan RM9,000 ke bawah.
#Akta Cukai Pendapatan 1967 #cukai #ejen percukaian #LHDN #salah tafsir #undang-undang cukai
;