Ejen pembantu rumah: Datuk, Datin antara 15 individu ditahan
Bernama
Februari 26, 2023 16:41 MYT
Februari 26, 2023 16:41 MYT
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri bergelar "Datuk" dan "Datin" ditahan di kediaman mereka di Shah Alam, pada 16 Feb lepas kerana disyaki menjadi ejen Pembantu Rumah Asing (PRA) secara haram.
Selain mereka, Jabatan Imigresen turut menahan 13 wanita warga Indonesia berumur dalam lingkungan 22 hingga 47 tahun.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil siasatan mendapati mereka masuk ke negara ini dengan menyamar sebagai pelancong menggunakan Pas Lawatan Sosial.
Beliau berkata, lokasi serbuan merupakan rumah kediaman pasangan itu yang turut dijadikan tempat tinggal warga asing terbabit.
"Mereka (warga Indonesia) akan dibekalkan sebagai pembantu rumah dan pekerja pembersihan.
"Mereka akan dikenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM4,500 seorang sebagai bayaran perkhidmatan mengurus kemasukan yang akan dipotong melalui gaji bulanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, pasangan suami isteri itu disyaki menjalankan aktiviti mengurus kemasukan dan membekalkan pembantu rumah secara haram bersama-sama ejen yang dikenali dari Indonesia.
Beliau berkata, suspek bergelar Datuk dan pasangannya, masing-masing berusia 66 dan 56 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen kerana disyaki membenarkan mana-mana pendatang tanpa izin memasuki atau tinggal di dalam premis yang mempunyai kepentingan sebagai penyelia atau menguruskan atau mempunyai kawalan ke atas mana-mana premis itu.
Menurutnya, kesemua warga asing itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan-kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan juga kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
"Kes akan turut dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di bawah Kementerian Sumber Manusia berkait aktiviti pengambilan dan pembekalan pekerja yang dijalankan tanpa lesen sah.
"Imigresen sentiasa memantau aktiviti penawaran pembantu rumah asing dan pekerja pembersihan harian secara tidak sah ini termasuk di media-media sosial oleh individu atau ejen haram," katanya.
Khairul Dzaimee menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan aktiviti berkenaan dan sentiasa merujuk kepada maklumat terkini daripada Imigresen dan JTK. - BERNAMA