Ejen pelancongan parah dilibas sabit gara-gara berebut pelanggan
Sinar Harian
Mac 1, 2025 12:00 MYT
Mac 1, 2025 12:00 MYT
Seorang ejen pelancongan parah dilibas sabit gara-gara berebut pelanggan. - Gambar hiasan/Sinar Harian
PAPAR: Seorang ejen pelancongan parah akibat dilibas menggunakan sabit dalam kejadian di jeti sungai, Kampung Kawang, Beringgis, di sini pada Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 36 tahun mengalami kecederaan di bahagian tangan dan telinga kiri serta dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, kejadian tersebut melibatkan dua lelaki yang bekerja sebagai ejen pelancongan.
"Siasatan mendapati kejadian berpunca disebabkan perselisihan faham antara mangsa dan suspek lelaki berusia 33 tahun di mana kedua-duanya bekerja sebagai ejen pelancongan di syarikat yang berlainan dan mereka sudah lama kenal.
"Pertikaian bermula apabila syarikat suspek telah menawarkan pakej harga yang lebih rendah berbanding syarikat mangsa kepada pelancong Korea Selatan dan secara tidak langsung menyebabkan kebanyakkan pelancong tersebut beralih dari syarikat mangsa kepada syarikat suspek," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, susulan daripada itu mangsa yang tidak berpuas hati telah bertindak menegur suspek.
"Pada hari kejadian, mangsa yang sedang membawa pelancong secara kebetulan telah terserempak dengan suspek yang juga turut membawa pelancong di lokasi tersebut.
"Berlaku pertengkaran antara mereka dan tiba-tiba suspek mengambil sabit dari keretanya dan terus melibas ke arah mangsa.
"Mangsa bertindak menahan tetakan tersebut menggunakan tangan kirinya dan menyebabkan dia cedera pada bahagian telinga kiri dan tangan kiri," katanya.
Kamaruddin berkata lagi, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri manakala mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah segera dihantar ke hospital untuk dirawat.
"Susulan kejadian itu, keesokan harinya pada jam 4 petang suspek berjaya dikesan dan ditangkap oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dengan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu.
"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinar Harian