Ejen kosmetik mangsa culik selamat kembali ke rumah
Muhafandi Muhamad
Oktober 3, 2022 17:12 MYT
Oktober 3, 2022 17:12 MYT
KOTA BHARU: Mangsa culik yang dilarikan kumpulan penjenayah pada 13 September lalu pulang ke rumah keluarganya petang tadi.
Rosnazirah Mohd Naim, 36 tahun, diiringi pulang oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ke kediaman keluarga di Kota Bharu sekitar jam 2.50 petang.
“Kita serahkan kepada keluarga dalam keadaan baik dan selamat. Mungkin ada sedikit tekanan emosi, tapi semuanya baik. (Dia) bercakap dengan baik, (dan sudah) berjumpa dengan keluarga.
“Ini beri kesan bukan sahaja kepada keluarga tapi kepada semua yang memberi perhatian kepada kes ini. Sama-sama kita jadikan iktibar… masyarakat di Kelantan supaya sering ambil berat tentang keadaan orang lain,” ujar beliau.
Menurut Muhamad Zaki lagi, orang ramai dan kenalan dinasihatkan supaya tidak mengganggu mangsa buat sementara waktu bagi memberi ruang buat keluarga tersebut.
Katanya, usaha keras Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Polis Kelantan dan Polis Thailand telah berjaya membawa pulang mangsa dalam keadaan selamat tanpa melibatkan sebarang pembayaran wang tebusan.
Jelasnya, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.
Pada masa sama, beliau meminta rakyat Kelantan menjadikan kejadian itu sebagai pengajaran agar tidak terlibat dalam mana-mana kumpulan pengedaran dadah.
Selepas dibenarkan pulang, pihak polis tidak bercadang untuk melakukan pemantauan di rumah atau menempatkan anggota menjaga keselamatan mangsa.
PDRM juga akan memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa dan mangsa dalam menghilangkan kesan trauma yang dilalui.
Dalam pada itu, siasatan ke atas empat individu yang ditahan reman sebelum ini masih diteruskan.
Rosnazirah dilarikan empat individu dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada 13 September lepas.
Mangsa dikatakan dibawa lari ke Thailand oleh kumpulan dipercayai kartel dadah.
Tindakan membawa lari mangsa dikatakan ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di Thailand.