Ejen kad prabayar mengaku simbah air panas ke tubuh dua anak

Astro Awani
Januari 10, 2019 15:22 MYT
Tertuduh Eddy Noramin Ramli (menutup muka dengan topi) yang juga seorang ejen jualan kad prabayar mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menyimbah air panas ke atas dua anaknya pada Disember lalu.
Padah menyimbah air panas ke atas tubuh dua orang anaknya, seorang bapa dihadapkan ke mahkamah Majistret George Town hari ini.
Tertuduh Eddy Noramin Ramli, 41, yang juga seorang ejen jualan kad prabayar mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menyimbah air panas ke atas dua anaknya pada Disember lalu.
Dia membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.
Mengikut pertuduhan pertama, Eddy didakwa dengan niat mencederakan anak perempuannya berusia sembilan tahun dengan menggunakan bahan panas iaitu air panas hingga melecur badan mangsa.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan perkara sama ke atas anak lelakinya berusia 10 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua pertuduhan itu diantara jam 1 hingga 2 pagi pada 28 Disember lalu di Flat Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun hukuman ke atas tertuduh belum diputuskan berikutan laporan perubatan belum diterima.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasinnisa Begam Seeni Mohideen manakala tertuduh diwakili Peguam Edmund Anthony Hermon.
Terdahulu, peguam Edmund memohon tertuduh dibebaskan dengan jaminan terlebih dahulu dan memohon jaminan yang rendah terhadap anak guamnya.
Dalam permohonan itu, Edmund menyatakan tertuduh merupakan penanggung tunggal kepada keluarganya dan perlu menanggung seorang isteri yang tidak bekerja.
Tertuduh juga perlu menanggung empat anaknya yang berusia lingkungan lima hingga 10 tahun dengan pendapatan bulanan RM500.
Rosnee membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin terhadap tertuduh serta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mendekati mangsa.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Februari depan untuk menjatuhkan hukuman.
Pada Isnin, tertuduh ditahan bersama isterinya di hadapan sebuah kedai menjual durian Cap Kaki di Paya Terubong setelah sembilan hari melarikan diri.
BACA: Bapa tergamak simbah air panas hanya kerana anak 'curi' RM10 duit mak
Bagaimanapun, isterinya yang berusia 38 tahun itu tidak didakwa dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Disember lalu, seorang kanak-kanak perempuan melecur di beberapa bahagian badannya dipercayai disimbah air panas oleh bapa kandungnya.
Mangsa berusia lapan tahun itu dikatakan disimbah air panas di badan selepas bapanya berang kerana makanan yang disediakan isterinya habis dimakan empat anaknya termasuk mangsa.
Akibat daripada itu, mangsa melecur di lengan, rusuk serta dada kanan namun tidak memerlukan pembedahan plastik.
#George Town #Kanak-kanak #mahkamah #Mahkamah Majistret #polis #simbah anak
;