Ejen insurans rugi lebih RM1.5 juta terperdaya skim pelaburan berkaitan judi
Bernama
Mac 6, 2025 20:45 MYT
Mac 6, 2025 20:45 MYT
Seorang ejen insurans kerugian kira-kira RM1.58 juta selepas mendakwa diperdayakan sindiket skim pelaburan berkaitan kegiatan perjudian di Singapura, tahun lepas. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang ejen insurans kerugian kira-kira RM1.58 juta selepas mendakwa diperdayakan sindiket skim pelaburan berkaitan kegiatan perjudian di Singapura, tahun lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wanita berusia 58 tahun itu terjerat dengan skim berkenaan selepas berkenalan dengan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp pada November lepas.
"Setelah mendaftar akaun untuk menyertai pelaburan, mangsa dihubungi oleh seorang 'pegawai khidmat pelanggan' dan memintanya membuat bayaran bagi memulakan pelaburan.
"Bermula 19 Dis 2024 hingga 20 Feb 2025, mangsa telah membuat 27 pindahan wang ke enam akaun bank atas nama enam syarikat yang berbeza," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramli berkata selain wang simpanan, sebahagian besar wang dipindahkan oleh mangsa diperoleh menerusi pinjaman bank, empat kad kredit dan rakan-rakannya.
Beliau berkata mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila tidak menerima pulangan seperti yang dijanjikan, malah terus didesak membuat bayaran tambahan sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan yang dipaparkan melalui aplikasi pelaburan yang digunakan.
Kes katanya disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam kes lain, Ramli memberi amaran kepada orang ramai mengenai kewujudan satu iklan skim pelaburan menggunakan video palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi 'deepfakes' bagi mengelirukan mangsa, dengan menampilkan wajah Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc Elon Musk serta Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok seolah-olah mempromosikan skim pelaburan berkenaan.
"Video palsu yang disebarkan menerusi iklan di laman Facebook itu memperlihatkan kedua-dua individu berkenaan memberi ulasan mengenai manfaat yang disediakan oleh skim pelaburan terbabit.
"Skim yang kononnya diperkenalkan oleh Elon Musk hanya memerlukan pelabur membuat pelaburan serendah RM1,200 dan bakal memperoleh keuntungan sehingga RM100,000 sebulan, malah turut dinyatakan skim itu telah diluluskan oleh kerajaan Malaysia," katanya.
Beliau berkata taktik memaparkan iklan melalui laman sosial, memanipulasi video individu terkenal, memperdaya pengguna untuk meninggalkan nama serta nombor telefon dan seterusnya menghubungi mangsa untuk menerangkan perihal pelaburan, adalah modus operandi yang lazim digunakan oleh sindiket penipuan pelaburan.
-- BERNAMA