Ejen hartanah cedera disamun dua lelaki bersenjata parang, kayu besbol
Sinar Harian
Disember 31, 2023 11:45 MYT
Disember 31, 2023 11:45 MYT
KLANG: Seorang ejen hartanah cedera apabila disamun dua penjenayah bersenjatakan parang dan kayu besbol ketika berada dalam kenderaannya di Jalan Persiaran Pegaga, dekat sini, pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamalariffin Aman Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 petang ketika mangsa memberhentikan kenderaannya di lokasi kejadian.
"Siasatan mendapati mangsa yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun sebelum itu telah mengeluarkan sejumlah wang tunai daripada mesin pengeluaran automatik (ATM) sebuah bank di Jalan Meru, Klang kira-kira jam 2 petang.
"Mangsa kemudian memandu kereta jenis Mercedes berwarna hitam dan menghala ke kawasan Bukit Tinggi untuk bertemu dengan rakannya," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Kamalariffin berkata, ketika memberhentikan kenderaan di lokasi kejadian, mangsa didatangi dua lelaki tidak dikenali.
"Kedua-dua suspek terbabit bertindak memecahkan cermin pintu sebelah pemandu dan penumpang hadapan.
"Siasatan mendapati seorang suspek menggunakan kayu besbol untuk memecahkan cermin pintu penumpang hadapan manakala seorang suspek lagi menggunakan sebilah parang untuk memecahkan cermin pintu sebelah pemandu," katanya.
Menurutnya, suspek kemudian bertindak melarikan komputer riba milik mangsa dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Yaris berwarna perak.
"Pergelutan antara mangsa dengan suspek mengakibatkan mangsa patah tulang jari tangan kiri dan luka sebelah lengan kanan.
"Kerugian yang dialami mangsa dianggarkan sebanyak RM6,000 melibatkan komputer riba milik mangsa serta kerosakan cermin kenderaannya," katanya.
Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan berhubung kejadian ini.
"Polis memandang serius kes ini dan menggerakkan semua elemen agar suspek yang terlibat dalam diberkas segera.
"Polis berharap agar mana-mana orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar segera tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya. -Sinar Harian